DAP bertanding empat kerusi parlimen di Pahang

Politics
26 Oct 2022 • 4:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: DAP akan bertanding di empat kerusi Parlimen di Pahang pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) serta mempertaruhkan tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang sebagai calon.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata kerusi yang akan ditandingi DAP ialah Bentong, Cameron Highlands, Raub, serta Lipis, yang merupakan kerusi tambahan yang diperuntukkan untuk DAP di Pahang.

“Tambahan satu kerusi Parlimen iaitu di Lipis setelah kami berbincang dengan Majlis Tertinggi Pakatan Harapan,“ katanya pada sidang media pengumuman calon Parlimen negeri Pahang di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

Loke mengumumkan penyandang DUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong akan bertanding di Cameron Highlands, penyandang DUN Tras Chow Yu Hui di Raub, penyandang DUN Ketari Young Syefura Othman di Bentong, manakala penyandang Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji akan bertanding di kerusi Lipis.

Loke berkata DAP akan bertanding di lapan kerusi DUN pada PRU15.

Menurutnya, Tengku Zulpuri merupakan satu-satunya calon DAP yang akan turut bertanding di kerusi DUN, manakala senarai nama calon DUN lain akan diumumkan di Bentong, Pahang pada minggu hadapan.

Ditanya mengenai keputusan tidak menampilkan Wong Tack untuk mempertahankan Parlimen Bentong pada PRU15, Loke berkata pihaknya telah berbincang dengan Wong untuk meletakkannya bertanding di Cameron Highlands namun Wong menolak.

Wong, yang dikenali sebagai aktivis anti-Lynas, memenangi kerusi Parlimen Bentong pada PRU14 dengan majoriti 2,032 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. - Bernama