DAP kena buktikan kalau mahu orang UMNO lembut hati

Politics
8 Jun 2023 • 1:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Muhamad Akmal semasa ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Khamis. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menuntut agar DAP membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap-cakap tentang parti itu yang anti Melayu, anti Islam, perkauman serta berpusatkan komunis tidak akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan jika mahu orang UMNO berlembut hati.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ada kalangan ahli yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan risau apabila bersama DAP, ‘keris’ UMNO akan terperosok ke bumi.

“Bahasa mudahnya, akar umbi risau bila bersama DAP, UMNO sudah tidak boleh bercakap pasal hak istimewa orang Melayu, soal kedaulatan raja-raja, tak boleh tuntut isu agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu serta bumiputera.

“Mereka risau UMNO kena patuh dan ikut telunjuk DAP. Hari ini, Pemuda UMNO ingin tegaskan kita bersama Kerajaan Perpaduan adalah atas faktor titah Yang di-Pertuan Agong untuk kestabilan negara serta bersama untuk membentuk kerajaan.

“Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi sempadankan prinsip perjuangan. Kalau ada yang berani melintas, Pemuda UMNO yang pertama akan datang mencantas.

“UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP dan kita tidak pernah minta DAP menjadi UMNO. Kita nak tegaskan, Pemuda UMNO akan pastikan yang UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Khamis.

Muhamad Akmal turut menjelaskan, sayap Pemuda mengambil pendirian tidak menjemput parti Kerajaan Perpaduan bukanlah kerana tidak mahu bersama, tetapi percaya ada perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu di peringkat adik-beradik.

Jelasnya, ada kalangan ahli yang masih keliru dan mungkin tidak berpuas hati, jadi ruang ini untuk mereka meluahkan perasaan dan menyelesaikannya.

“Jangan tipu diri sendiri, berselindung di sebalik tabir, bertapis dan berlapik. Kita orang muda, mental kena kuat, jiwa kena kental, jangan cepat koyak.

“Saya faham, dalam rumah kita ini, ada yang resah, ada yang gelisah. Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba,” tegasnya.