DAP langgar garis merah, perjanjian terbatal – Asyraf Wajdi

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 9:53 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DAP langgar garis merah, perjanjian terbatal – Asyraf Wajdi

MELAKA: UMNO memberi peringatan keras kepada DAP supaya kembali mematuhi syarat dan garis merah yang dipersetujui dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, termasuk tidak mempersenda institusi Raja-Raja Melayu, agama Islam serta keistimewaan orang Melayu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya mana-mana pihak dalam kerajaan berasakan tidak lagi mampu berpegang kepada syarat yang telah dipersetujui, maka mandat sewajarnya dikembalikan kepada rakyat.

Jelas beliau, sekiranya syarat tersebut tidak lagi dapat dipatuhi, maka perjanjian yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan boleh dianggap terbatal.

Menurut beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mahu mengambil jalan pintas dengan melakukan pertukaran kerajaan atau Perdana Menteri menerusi apa yang disifatkan sebagai tindakan ‘tebuk atap’.

Sebaliknya, katanya, mandat perlu diserahkan semula kepada rakyat bagi menentukan hala tuju kerajaan.

“Cuma saya hendak cakap beginilah, saya nak memperingatkan kepada pimpinan DAP, kembali kepada perjanjian yang dimeterai sewaktu pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Kita ada dua perjanjian penting. Pertama, Perjanjian BN dan Pakatan Harapan (PH) dan kedua, Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Dalam perjanjian itu, kita telah menggariskan syarat-syarat yang jelas bahawa kerajaan ini diwujudkan bersama atas titah Yang di-Pertuan Agong dengan beberapa parameter dan garis panduan yang telah dipersetujui,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Pentas Grand Finale Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka BN-Perikatan Nasional (PN) di Dewan Mualim Haji Abdul Wahid di sini malam tadi.

Asyraf Wajdi berkata, antara perkara yang perlu dihormati oleh semua pihak adalah kesetiaan kepada institusi negara serta larangan mempersenda Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong, agama Islam dan keistimewaan orang Melayu.

“Kalau mereka sudah mula merasakan bahawa mereka tidak boleh lagi berpegang kepada syarat-syarat ini, maka dengan sendirinya perjanjian itu akan terbatal.

“Bila sudah terbatal, maka secara gentleman, kita serahkan balik mandat itu kepada rakyat.

“Jangan menyusahkan rakyat dengan polemik berterusan yang menyebabkan kerajaan tidak stabil dan pandangan buruk pelabur terhadap Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, negara juga kini menghampiri tempoh matang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berdasarkan rekod tempoh pilihan raya sebelum ini.

“BN jelas. Presiden UMNO selalu menyebut, kita tidak mahu tebuk atap dan tidak ada pertukaran Perdana Menteri.

“Yang kita mahu ialah serahkan balik mandat ini kepada rakyat kerana kita melihat sudah ada pihak yang melanggar garis-garis merah yang kita letakkan,” katanya. – UTUSAN

The post DAP langgar garis merah, perjanjian terbatal – Asyraf Wajdi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved