DAP Tiada Polisi Untuk Calon PRU Isytihar Harta

Politics
10 Nov 2022 • 4:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anthony Loke - Gambar fail

GEORGE TOWN - DAP tidak mempunyai polisi mewajibkan calon-calonnya yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk melakukan pengisytiharan harta, kata Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke.

Beliau berkata wakil DAP hanya perlu berbuat demikian jika mereka dilantik sebagai menteri Kabinet. 

"Kami tidak mempunyai polisi sebegitu. Jika kami dilantik sebagai kerajaan dan dilantik sebagai menteri Kabinet, pastinya kami akan mengisytiharkan aset seperti yang telah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Sebahagian besar daripada 72 calon PKR yang merupakan rakan kerjasama DAP dalam Pakatan Harapan (PH), telah membuat pengisytiharan aset mereka sebagai syarat untuk bertanding pada PRU-15.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengesahkan telah melakukan pengisytiharan harta dengan memiliki aset bersih bernilai sebanyak RM11.17 juta. - Bernama