DAP umum calon PRU15 minggu depan

Politics
18 Oct 2022 • 11:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anthony Loke (dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Seremban.

SEREMBAN - DAP dijangka akan membuat pengumuman senarai calon yang akan bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di setiap negeri secara berperingkat bermula minggu depan.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, ia sudah berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

"Pengumuman itu akan dibuat secara berfasa mengikut negeri dan ikut kawasan berlainan.

"Setiap negeri telah pun menghantar senarai calon yang dicadangkan dan di peringkat kepimpinan tertinggi DAP, kita telah berbincang dan membuat penilaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Seremban Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, Lobak dan Temiang di sebuah dewan di sini pada Isnin.

Sementara itu, Anthony Loke yang juga penyandang kerusi Parlimen Seremban berkata, walaupun berlaku pertambahan pengundi Melayu di parlimen itu, namun beliau yakin mampu pertahankannya.

Ini kerana katanya, pengundi Melayu di kawasan itu didapati bersikap agak terbuka dan kini boleh menerima DAP.

"Dari segi demografi penduduk Melayu lebih ramai di Seremban dan kita sudah jangkakan peratusan pengundi Melayu akan bertambah disebabkan pendaftaran automatik pengundi 18 tahun, malah telah meningkat melebihi 52 peratus.

Secara amnya, memang kawasan majoriti Melayu agak sukar buat PH. Tapi saya telah berkhidmat di Parlimen Seremban ini bukannya baru, sudah dua penggal.

"Sebelum itu, saya berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak selama dua penggal dan ia memberi saya lebih 18 tahun pengalaman di Parlimen Seremban," katanya.

Jumlah pengundi di Parlimen Seremban yang direkodkan ketika ini ialah 156,604 dengan jumlah pengundi Melayu paling tinggi iaitu (83,192) manakala Cina (55,264) dan India (16,213).

Untuk rekod, pada PRU14, Anthony Loke memenangi kerusi Parlimen Seremban dengan majoriti sebanyak 30,694 undi.