KUANTAN – Sebungkus nasi mungkin nampak biasa bagi sesetengah pihak tetapi bagi golongan memerlukan ia cukup bermakna dan dianggap rezeki yang perlu disyukuri.
Setiap petang, kelibat mereka mula kelihatan seawal jam 5.30 petang di Taman Esplanade bagi menunggu agihan makanan percuma melalui program ‘Free Food For Ramadan’.
Muhammad Nasaruddin, 28, yang kini sebatang kara selepas kematian ibu bapanya mengakui pemberian makanan tersebut amat melegakan selepas dirinya hilang pendapatan ekoran penutupan kedai tempatnya bekerja.
“Bila ada program makanan percuma macam ini, rasa lega sangat. Dapat alas perut pun jadilah.
“Untuk sahur pula, saya ambil nasi yang disediakan di masjid,” katanya ketika ditemui di Taman Esplanade di sini.
Senada dengannya, warga emas, Chang Ching Peng, 68, mengakui tidak pernah melepaskan peluang hadir setiap hari bagi mendapatkan juadah tersebut.
Dia yang tidak bekerja memberitahu sumbangan daripada orang ramai itu amat membantunya menjimatkan perbelanjaan harian yang semakin menghimpit.
“Saya gembira sebab tak payah belanja (keluar duit). Memang saya datang setiap hari ambil nasi di sini untuk makan,” luahnya ringkas.
**media[3457557]**
Bagi seorang lagi warga emas, Shaharudin Muda, 66, pemberian makanan percuma ini juga amat bermakna terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.
“Ini satu usaha yang baik untuk orang yang kurang mampu dan mana yang ada kemampuan lebih itu bolehlah bantu orang susah,” ujarnya.
Sementara itu, penggerak program tersebut, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar berkata, program 'Free Food For Ramadan' kini memasuki tahun ke-11 dalam misi menyantuni golongan memerlukan di sekitar bandar Kuantan.
Ujarnya, sebanyak 150 hingga 250 bungkus makanan diagihkan setiap hari hasil sumbangan orang ramai.
“Kita percaya sebagai manusia, tidak kiralah agama atau bangsa, kita patut berbuat baik sesama kita. Jangan kita terbawa-bawa dengan isu yang memecah-belahkan masyarakat.
“Meskipun penyumbang bertukar-tukar setiap tahun, matlamat utama program adalah memastikan tiada insan yang terpaksa berlapar, terutamanya gelandangan,” katanya.
