Dapat sokongan 5 ADUN PN, UMNO BN dakwa miliki majoriti mudah bentuk kerajaan negeri

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 10:23 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Barisan Nasional Negeri Sembilan mendakwa kini mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.

Menerusi perkongsian Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, parti tersebut melalui kenyataan rasminya menyatakan perkembangan itu hadir susulan tindakan 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mencetuskan kemelut politik di negeri berkenaan.

UMNO, BN sambut baik kesediaan 5 ADUN PN

BN memaklumkan kerjasama tersebut penting bagi memastikan pentadbiran negeri terus berjalan stabil dan kepentingan rakyat diutamakan.

“UMNO dan BN negeri menyambut baik kesediaan lima ADUN PN untuk bekerjasama bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negeri.
“Dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan parti.

“Kami akan mengetepikan perbezaan ideologi bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dalam masa terdekat,” ujarnya.

Image from: Dapat sokongan 5 ADUN PN, UMNO BN dakwa miliki majoriti mudah bentuk kerajaan negeri

Dakwa dapat majoriti mudah

Menurut BN, penyatuan sokongan dalam kalangan ADUN mampu membawa naratif baharu yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negeri serta mempertahankan adat.

“Sehubungan itu, dengan kenyataan sokongan daripada lima ADUN PN, UMNO dan BN telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri,” ujarnya lagi.

Image from: Dapat sokongan 5 ADUN PN, UMNO BN dakwa miliki majoriti mudah bentuk kerajaan negeri

Sebelum ini, wakil PN Negeri Sembilan menawarkan kerjasama kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Ketua pembangkang negeri merangkap ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker memaklumkan keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat tergempar, dengan lima ADUN PN bersedia bekerjasama bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta kesinambungan pembangunan negeri.

Sumber: Facebook Jalaluddin Alias