Dapatan PISA 2025: Buli siber mesti diambil serius – Fadhlina

8 Sep 2026 • 6:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dapatan PISA 2025: Buli siber mesti diambil serius – Fadhlina

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mahu dapatan terkini daripada Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 membabitkan isu buli siber diambil serius.

Ini kerana, katanya, kadar buli siber yang dilaporkan oleh murid Malaysia lebih tinggi berbanding purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan ia mempunyai hubungan dengan pencapaian pembelajaran yang lebih rendah.

“Dahulu kita mungkin membayangkan seorang anak selamat daripada pembuli apabila dia pulang dari sekolah. Hari ini tidak semestinya.

“Buli di sekolah mungkin berhenti apabila seorang anak pulang. Buli siber boleh pulang bersamanya. Sebab itu keselamatan dan kesejahteraan bukan perkara sampingan kepada pendidikan,” katanya ketika menyampaikan ulasan bersempena dengan keputusan PISA 2025 di sini hari ini.

Beliau berpandangan bahawa anak-anak yang sentiasa takut akan menghadapi kesukaran untuk belajar, manakala anak yang sentiasa terluka turut sukar untuk berkembang.

Menurutnya, memastikan anak-anak selamat hanyalah perkara asas, justeru semua pihak perlu memastikan anak-anak mempunyai keupayaan untuk memahami dunia yang semakin kompleks.

“Dunia mereka tidak berhenti di pagar sekolah. Ia bergerak bersama mereka di dalam telefon, di dalam kumpulan sembang dan di ruang digital. Dan di sinilah membaca menjadi semakin penting.

“Bacaan kita meningkat dan itu perkembangan yang menggalakkan. Tetapi anak-anak hari ini membaca dalam dunia TikTok, WhatsApp, enjin carian dan kecerdasan buatan (AI).

“Cabaran mereka bukan lagi sekadar mendapatkan maklumat. Cabaran mereka ialah menentukan maklumat mana yang boleh dipercayai. Sebab itu literasi hari ini mesti bergerak daripada sekadar membaca kepada memahami hujah, menilai bukti dan membezakan fakta daripada dakwaan,” ujarnya.

Tambah Fadhlina, selepas melihat keseluruhan PISA 2025, beliau tidak melihat sebuah generasi yang kekurangan potensi.

“Saya melihat bidang Sains dan Bacaan yang bergerak ke hadapan. Saya melihat kekuatan dalam Penyelesaian Komputasional yang boleh kita manfaatkan. Saya melihat cikgu yang terus menjadi kekuatan sistem kita. Dan saya juga melihat dengan jelas bahagian yang masih perlu kita perbaiki, terutamanya Matematik.

“Tugas kita selepas PISA adalah untuk menghubungkan kekuatan anak-anak kita dengan bahagian yang masih perlu kita perbaiki,” katanya. – UTUSAN

The post Dapatan PISA 2025: Buli siber mesti diambil serius – Fadhlina appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved