DAPSY bidas Ahmad Zahid: Kawal dulu timbalan, ketua pemuda parti sendiri

LocalPolitics
13 Jun 2026 • 5:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DAPSY bidas Ahmad Zahid: Kawal dulu timbalan, ketua pemuda parti sendiri
Woo Kah Leong

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong membidas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan tegurannya terhadap DAP.

Beliau mendakwa Ahmad Zahid tidak mempunyai kedudukan moral untuk berbicara mengenai penghormatan terhadap rakan kerjasama politik berikutan tindakan beberapa pemimpin UMNO yang didakwa berulang kali mencabuli semangat Kerajaan Perpaduan.

“DAPSY bukan seperti Pemuda MCA atau Pemuda MIC yang hanya mengikut perintah UMNO seperti lembu dicucuk hidung. DAPSY akan terus bersuara secara terbuka demi kepentingan rakyat.

“Kami bukan sayap pemuda yang hanya tahu tunduk dan mengangguk kepada segala kehendak parti lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin DAP supaya belajar menghormati rakan kerjasama politik dan tidak mengeluarkan kenyataan secara melulu.

Katanya, setiap rakan kongsi dalam landskap politik hari ini perlu sentiasa menghormati prinsip kebersamaan serta menjaga sensitiviti antara satu sama lain.

Dalam pada itu, Kah Leong turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang didakwa membiarkan UMNO Johor bergerak secara solo serta kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang enggan ‘duduk semeja dengan DAP’.

Menurutnya, jika itu cara UMNO menghormati rakan dalam Kerajaan Perpaduan, parti berkenaan tidak mempunyai kedudukan moral untuk menegur pihak lain mengenai perkara yang sama.

“Beliau juga perlu menjelaskan tindakan ‘tebuk atap’ Timbalan Presiden UMNO sendiri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan yang didakwa terlibat dalam usaha membentuk kerajaan pintu belakang di negeri tersebut.

“Surat sulit Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didedahkan membuktikan bahawa ini merupakan tindakan bersama UMNO dan Perikatan Nasional (PN), namun sehingga kini Ahmad Zahid masih gagal memberikan penafian yang jelas.

“Daripada menegur DAPSY, lebih baik beliau mengawal timbalannya yang didakwa menebuk atap dan Ketua Pemuda UMNO yang terus bertindak seperti samseng politik. Jangan mengalihkan perhatian daripada isu usaha menubuhkan kerajaan pintu belakang yang mengkhianati mandat rakyat,” katanya.

Ujarnya, sekiranya beliau benar-benar komited terhadap Kerajaan Perpaduan, perkara itu perlu dibuktikan dengan tidak menandatangani watikah calon kepada mana-mana individu yang mahu bergerak secara solo, menolak rundingan serta menghina rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang kononnya tidak rela duduk semeja.

Tambahnya, Ahmad Zahid juga perlu menjawab secara terbuka sama ada UMNO akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau kembali memilih Pas dan PN sekiranya BN gagal memperoleh majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Adakah beliau bersetuju dengan pendirian Ketua Pemuda parti sendiri yang mahukan kerjasama politik dengan Pas?

“Rakyat dapat melihat permainan UMNO yang mahu terus menikmati kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan, namun pada masa yang sama membuka ruang kerjasama dengan Pas selepas pilihan raya.

“Jika benar mahu bersama Pas, nyatakan secara jujur dan jangan mempermainkan kebijaksanaan pengundi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved