IPOH - Kerajaan Perak akan menghantar wakil ke Jepun bulan depan bagi menilai sendiri keadaan tiga gajah Malaysia yang ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, lawatan tersebut akan dilaksanakan oleh Zoo Taiping sebagai langkah pemantauan susulan selepas penghantaran haiwan berkenaan pada 11 Mac lalu.
"Lawatan telah dijadualkan pada April, namun tarikh rasmi masih belum dimuktamadkan.
"Kita anggap lawatan ini penting bagi memastikan semua aspek penjagaan dan kebajikan haiwan itu mematuhi piawaian serta berada dalam keadaan baik seperti yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Kesedaran Keselamatan Awam bersempena Program Satelit Program Madani Rakyat anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di AEON Mall Kinta City di sini pada Ahad.
**media[3475429]**
Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.
Sandrea berkata, sebelum penghantaran dibuat, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama pihak zoo di Jepun telah menjalankan beberapa siri perbincangan dan lawatan bagi memastikan persekitaran penempatan adalah sesuai.
Katanya, proses tersebut melibatkan penilaian menyeluruh termasuk aspek habitat, kemudahan serta keperluan spesies berkenaan.
"Kalau sebelum ini gajah ditempatkan di pusat konservasi, sudah tentu keadaannya berbeza berbanding zoo.
"Saya belum menerima laporan khusus, tetapi setakat ini saya difahamkan keadaan di sana adalah baik," katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa penghantaran tiga gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat ke Jepun mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, khususnya di media sosial yang mempersoalkan aspek kebajikan serta kesesuaian haiwan itu di persekitaran baharu.

