
KUALA LUMPUR - Darah Jenis O kekal sebagai kumpulan darah paling kritikal, susulan permintaan tinggi di negara ini.
Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Nor Nazahah Mahmud berkata, sifat darah jenis itu yang universal menyebabkan rizab bekalan semakin berkurangan dan berdepan tekanan tinggi.
Menurut beliau, darah Jenis O memainkan peranan penting dalam sistem penjagaan kesihatan kerana ia boleh ditransfusikan kepada pesakit merentasi semua kumpulan darah utama.
“Darah Jenis O boleh digunakan untuk pesakit dengan kumpulan darah A, B, AB dan O.
“Darah Jenis O juga kerap digunakan dalam situasi kecemasan apabila kumpulan darah pesakit belum dikenal pasti,” katanya.
Jelas Dr Nor Nazahah, negara kini berdepan kekurangan bekalan darah Jenis O dan Jenis A yang kritikal, dan individu yang memiliki kumpulan darah berkenaan dirayu tampil untuk menderma.
"Walaupun terdapat kekangan semasa dalam darah Jenis O dan A, semua kumpulan darah adalah penting dan sentiasa diperlukan untuk memastikan setiap pesakit menerima pemindahan darah yang betul dan selamat mengikut jenis darah masing-masing,” katanya.
Tegasnya, usaha mengekalkan bekalan darah yang stabil dan mencukupi memerlukan penyertaan awam yang konsisten, kerana corak penggunaan boleh berubah-ubah dengan ketara bergantung pada kes perubatan di seluruh negara.
Bagi menangani cabaran ini katanya, Pusat Darah Negara telah memperkukuh sistem pengurusan inventori dan pengedarannya melalui pelaksanaan platform maklumat bersepadu yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Bank Darah versi 2.
“Sistem ini digunakan di pusat pendermaan darah di setiap negeri, membolehkan pemantauan tahap stok darah secara berpusat dan masa nyata,” katanya.
Dr Nor Nazahah menambah, maklumat terpilih mengenai derma darah dan tahap bekalan kebangsaan juga disediakan melalui aplikasi MySejahtera, bagi meningkatkan ketelusan dan kesedaran awam.
Katanya, analitik data sedang digunakan untuk meramalkan permintaan berdasarkan trend penggunaan sejarah, membolehkan kempen derma darah yang lebih disasarkan dan berkesan, selain pemantauan masa nyata.
“Pendekatan ini membantu Pusat Darah Kebangsaan merancang kempen derma darah dengan lebih berkesan, di samping mengoptimumkan penggunaan darah mengikut jangka hayat setiap komponen.
“Melalui kaedah ini, bekalan darah boleh diagihkan ke hospital di seluruh negara tepat pada masanya untuk memastikan keperluan pesakit dipenuhi secara konsisten,” katanya. - Getaran, 29 April 2026
