Dari Bollywood ke Hollywood

EntertainmentMovie
2 Aug 2026 • 9:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dari Bollywood ke Hollywood

Hollywood sering dianggap pentas impian buat ramai pelakon dunia. Namun, untuk menembusi industri perfileman terbesar itu bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi bagi bintang dari Asia yang perlu bersaing dengan ribuan bakat lain.

Bagaimanapun, beberapa selebriti Bollywood berjaya memecahkan tembok itu apabila bakat mereka mendapat perhatian penerbit antarabangsa. Ada yang mencipta sejarah menerusi watak utama, malah tidak kurang juga terus menjadi pilihan dalam produksi berskala besar Hollywood. Kejayaan mereka bukan sahaja mengharumkan nama industri perfileman India, malah membuka laluan kepada lebih ramai bakat Bollywood melebarkan sayap ke persada global.

Berikut lima artis Bollywood yang berjaya tembusi pasaran Hollywood:-

Deepika Padukone

Terkenal menerusi filem Om Shanti Om, pelakon, Deepika Padukone mula mencipta nama di Hollywood menerusi filem aksi xXx: Return of Xander Cage selepas bergandingan dengan Vin Diesel sebagai Serena Unger.

Meskipun menerima beberapa tawaran selepas itu, Deepika memilih untuk terus mengutamakan kerjaya di Bollywood dengan membintangi filem-filem berprofil tinggi seperti Padmaavat, Pathaan, Jawan sebagai penampilan khas dan Kalki 2898 AD.

Selain bergelar pelakon, Deepika turut menjadi ikon fesyen global apabila kerap menghadiri Festival Filem Cannes serta menjadi duta kepada beberapa jenama mewah antarabangsa.

Aishwarya Rai Bachchan

Aktres jelita, Aishwarya Rai Bachchan, selepas dinobatkan sebagai Miss World 1994, membina kerjaya lakonan yang cemerlang di India sebelum menerima tawaran daripada penerbit antarabangsa.

Kemunculannya dalam filem Bride & Prejudice arahan Gurinder Chadha membuka laluan ke Hollywood. Kemudian, dia membintangi beberapa produksi antarabangsa lain seperti The Mistress of Spices, Provoked, The Last Legion dan The Pink Panther 2 bersama Steve Martin.

Selain kejayaan di layar perak, Aishwarya turut diiktiraf sebagai ikon fesyen dunia apabila sering menjadi tumpuan di Festival Filem Cannes. Namun, pelakon filem Hum Dil De Chuke Sanam itu lebih banyak memberi tumpuan kepada Bollywood sejak kebelakangan ini.

Ali Fazal

Ali Fazal, pelakon generasi baharu Bollywood yang semakin mencuri perhatian di Hollywood. Bakat lakonannya membuka ruang untuk dirinya bekerjasama dengan beberapa nama besar industri perfileman antarabangsa.

Ali mula mencipta popularitinya di Hollywood menerusi filem Victoria & Abdul apabila memegang watak utama sebagai Abdul Karim, bergandingan dengan Dame Judi Dench.
Selepas meraih pelbagai pujian, Ali muncul dalam filem seram Death on the Nile arahan Kenneth Branagh serta filem aksi, Kandahar bersama Gerard Butler.

Anil Kapoor

Anil Kapoor antara pelakon veteran Bollywood yang berjaya mengembangkan kerjaya ke Hollywood selepas lebih tiga dekad mencipta nama dalam industri perfileman India.

Dengan pengalaman luas dan karisma tersendiri, beliau membuktikan usia bukan penghalang untuk bersaing di pentas antarabangsa. Anil mula meraih perhatian global menerusi filem pemenang Anugerah Oscar, Slumdog Millionaire apabila membawakan watak hos rancangan kuiz, Prem Kumar.

Kejayaan filem itu membuka peluang kepadanya untuk membintangi produksi Hollywood lain, termasuk Mission: Impossible – Ghost Protocol bersama Tom Cruise dan menembusi pasaran Amerika menerusi siri popular 24, sebelum menghasilkan versi adaptasi India yang turut dibintanginya.

Priyanka Chopra Jonas

Priyanka Chopra Jonas antara pelakon Bollywood paling berjaya mencipta nama di Hollywood. Selepas memenangi gelaran Miss World 2000, dia membina kerjaya yang cemerlang di Bollywood sebelum melebarkan sayap ke Amerika Syarikat.

Namanya mula mendapat perhatian antarabangsa menerusi watak utama sebagai Alex Parrish dalam siri televisyen Quantico. Kejayaan itu membuka pintu kepada pelbagai tawaran filem Hollywood termasuk Baywatc, Isn’t It Romantic, The Matrix Resurrections, Love Again dan Heads of State.

Selain berlakon, Priyanka turut aktif sebagai penerbit dan usahawan, menjadikannya antara figura India paling berpengaruh dalam industri hiburan global. Priyanka juga isteri kepada penyanyi terkenal antarabangsa, Nick Jonas.

The post Dari Bollywood ke Hollywood appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved