Dari Genre Balada, Marsha Milan Tukar Haluan, Bawa Pula Lagu Pop Rock Ilusi Bersama Hazama 

Music
28 Feb 2023 • 1:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
'Ilusi' adalah gabungan Marsha Milan Londoh dan Hazama. 

Selepas muncul dengan dua lagu bergenre balada, Cinta Dan Kembali Terang, penyanyi Marsha Milan Londoh cuba menukar sedikit haluan dengan menampilkan lagu yang bernuansa pop rock yang diberikan judul 'Ilusi'. 

Apa yang menarik, menerusi lagu tersebut, Marsha memilih untuk berkolaborasi dengan rocker Hazama yang juga seorang penulis lagu dan pelakon terkenal. 

“Saya sangat teruja kerana berpeluang membawa lagu genre sebegini iaitu campuran pop rock dan mempunyai keunikan yang sangat berbeza daripada genre sebelum. Lagu Ilusi ini sememangnya berlainan daripada lagu yang pernah saya bawakan seperti Cinta dan Kembali Terang. 

“Lagu Ilusi ini mentafsirkan tentang kisah percintaan yang dialami seseorang. Ramai yang tidak berani untuk meluahkan perasaan cinta mereka kepada orang yang diminati. 

“Perasaan yang tidak kesampaian itu membuatkan mereka berimaginasi seolah-oleh mereka bercinta. Dari situ mulalah timbul Ilusi dalam diri mereka,” katanya. 

image is not available
Marsha Milan Londoh bakal menampilkan lagu yang bernuansa pop rock, berjudul 'Ilusi'.

Mengulas tentang Ilusi pula, Hazama berkata, sebenarnya lagu ini sangat dekat dengan jiwa siapapun. 

“Saya rasa ramai orang tidak tahu apa itu ilusi. Sebenarnya, ilusi telah dilakukan oleh semua orang kerana semua orang pernah bermimpi. 

“Ilusi itu sebenarnya dilakukan untuk menenangkan diri dan menggembirakan hati kita. Tidak salah berilusi jika ia membuatkan kita lebih tenang dan gembira,” katanya. 

Ilusi dihasilkan oleh komposer berbakat iaitu Iqie Hugh, Shazriq Azeman dan Omar K. Ia sudah boleh didengar di saluran rasmi YouTube Alternate Records & Talents. 

Lagu Ilusi juga merupakan runut bunyi kepada drama bersiri Metro Crime Series yang akan disiarkan di portal penstriman dan aplikasi Tonton. 

Drama ini merupakan adaptasi kisah fiksyen yang diilhamkan dari kes-kes jenayah berprofil tinggi yang pernah berlaku di Malaysia. Dibintangi oleh Zahirah Macwilson, Aloy Paradoks, Mustaqim Bahadon, Chew Kin Wah dan ramai lagi. – Getaran, 28 Februari 2023