
DEMENSIA bukan lagi isu yang hanya melibatkan golongan warga emas atau institusi kesihatan semata-mata.
Dengan peningkatan jumlah penghidap saban tahun, kesedaran mengenai penyakit yang menjejaskan fungsi otak itu kini menjadi tanggungjawab bersama masyarakat.
Atas kesedaran tersebut, pelbagai pihak tampil memainkan peranan termasuk golongan belia yang semakin aktif membawa perubahan menerusi idea kreatif dan program berimpak tinggi.
Menariknya, usaha membina masyarakat yang lebih memahami serta inklusif terhadap individu yang hidup dengan demensia turut mendapat sokongan institusi pendidikan, industri dan badan bukan kerajaan.
Baru-baru ini, AvantHealth dengan kerjasama Monash University Malaysia menganjurkan Grand Finale MINDSPARK bertemakan 'Igniting a Dementia-Inclusive Future, bertempat di Monash University, Subang Jaya.
Acara tersebut menghimpunkan pelajar, ahli akademik, pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha meningkatkan kesedaran dan keterangkuman terhadap penyakit demensia.
Program berkenaan merupakan kemuncak kepada kerjasama selama setahun yang bermula dengan pemeteraian memorandum persefahaman antara AvantHealth dan Monash University Malaysia pada April 2025, sebelum diteruskan dengan pelancaran rasmi pertandingan MINDSPARK pada Jun tahun lalu yang turut dihadiri Puan Nori Abdullah.

Menerusi inisiatif itu, pasukan pelajar diberi peluang merangka dan melaksanakan projek komuniti berkaitan demensia dengan dana permulaan sebanyak RM6,000 yang disediakan oleh AvantHealth.
Penganjur program, Dr Dinesh Sangarran Ramachandram berkata, para peserta menunjukkan peningkatan ketara dalam tahap pengetahuan mengenai demensia berdasarkan penilaian sebelum dan selepas program.
"Daripada segi impak, para peserta telah menunjukkan peningkatan yang ketara dalam tahap pengetahuan mengenai demensia berdasarkan penilaian sebelum dan selepas program.
"Kejayaan tersebut turut dibuktikan melalui penglibatan semakin banyak universiti, NGO dan organisasi komuniti dalam usaha memperluaskan kesedaran mengenai demensia.
“Pihak penganjur berhasrat untuk memperluaskan program ini ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Matlamatnya adalah untuk membina sebuah ekosistem kesedaran demensia yang inklusif dan mampan, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat Malaysia.
“Melalui kerjasama erat antara institusi akademik, industri, NGO dan golongan belia, inisiatif ini membuktikan bahawa perubahan sosial yang bermakna dapat dicapai apabila semua pihak berganding bahu ke arah matlamat yang sama,” katanya ketika ditemui SinarPlus.
Sementara itu, Ketua Pegawai Saintifik AvantHealth, Profesor Emeritus Yuen Kah Hay berkata, statistik penghidap demensia di Malaysia terus meningkat setiap tahun, malah kes paling muda yang direkodkan melibatkan individu berusia 16 tahun.
“Program seperti ini sangat bagus bukan sahaja memberi kesedaran kepada masyarakat tetapi merupakan satu ilmu yang mana perubahan gaya hidup amat perlu bagi mengelakkan penyakit ini di samping menguruskan atau menjaga pesakit demensia,” ujarnya.
Menurut beliau, langkah pencegahan melalui amalan gaya hidup sihat, penjagaan kesihatan otak serta sokongan komuniti yang baik mampu membantu masyarakat memahami cabaran yang dihadapi pesakit dan penjaga mereka.

Idea Memory Café
Kemuncak acara menyaksikan pembentangan oleh tiga pasukan finalis yang berkongsi impak serta hasil pelaksanaan projek masing-masing sepanjang enam bulan.
Projek yang diketengahkan memberi fokus kepada peningkatan kesedaran mengenai demensia, pengukuhan keterangkuman sosial, sokongan kepada penjaga pesakit serta penglibatan komuniti secara menyeluruh.
Setiap pasukan mempamerkan kreativiti, keprihatinan dan komitmen tinggi dalam membina masyarakat yang lebih inklusif terhadap individu yang hidup dengan demensia menerusi penyelesaian mampan yang diterajui golongan muda.
Selepas sesi penilaian akhir, pasukan terbaik dinobatkan sebagai Juara MINDSPARK dan menerima dana pembangunan bernilai RM10,000 bagi memperluaskan serta meneruskan inisiatif mereka dalam komuniti.
Pasukan Synap5e of Memory yang diketuai Lee Kah Yee muncul juara menerusi projek berasaskan konsep Memory Café.
“Idea Memory Café sebenarnya bukanlah idea asal pasukan kami. Kami pertama kali diperkenalkan kepada konsep tersebut semasa menghadiri program berkaitan demensia di Universiti Malaya.
"Ketika itu, kami berpeluang mendengar perkongsian daripada Dr Cecilia Chan, seorang pendidik dan penggerak dalam bidang penjagaan demensia.
“Dr Cecilia Chan telah memperkenalkan konsep Memory Café sebagai satu ruang yang membolehkan individu yang hidup dengan demensia, penjaga mereka dan masyarakat umum berinteraksi dalam suasana yang santai dan menyokong.
"Konsep itu memberi inspirasi kepada kami untuk meneroka kemungkinan melaksanakan pendekatan yang sama dalam komuniti tempatan,” katanya.

Demensia dalam masyarakat
Tambah Lee, antara idea yang diketengahkan ialah mengubah sebuah kafe biasa menjadi Memory Café, iaitu ruang yang membolehkan pelanggan menikmati makanan dan minuman sambil berinteraksi dengan individu yang hidup dengan demensia.
Melalui pendekatan tersebut, masyarakat berpeluang memahami keadaan itu dengan lebih dekat sekali gus membina hubungan sosial yang lebih positif dan penuh empati.
Dalam pada itu, penganjur program iaitu Dr Fung Wai Yee, Dr Wang Leong Seng dan Dr Dinesh Sangarran Ramachandram yang juga penerima Anugerah Merdeka, merakamkan penghargaan kepada semua juri, mentor, rakan kerjasama, pejuang kesihatan, institusi pendidikan serta penyokong yang telah menyumbang kepada kejayaan program berkenaan.
Mereka turut menegaskan, inisiatif tersebut memperkukuhkan usaha berterusan yang selari dengan Pelan Tindakan Demensia Nasional Malaysia.
Menerusi MINDSPARK yang berada di bawah gerakan lebih besar AvantMind Matters, usaha memperkasa kesedaran mengenai kesihatan otak terus diperkukuhkan, selain menggalakkan perbincangan yang lebih proaktif mengenai pencegahan serta keterangkuman demensia dalam masyarakat.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Penaung Alzheimer's Disease Foundation Malaysia (ADFM), Puan Sri Wendy Ong, Tan Sri Hasmah Abdullah, Ketua Pegawai Operasi AvantHealth Eric Kiu serta wakil-wakil daripada organisasi rakan komuniti.
