Dari Long Sebangang ke Dubai, Kisah Kecekalan Dari Cikgu Nazmi Buat Netizen Tersentuh

18 Feb 2025 • 11:31 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Terpilih sebagai finalis juga adalah satu anugerah

Dari Long Sebangang ke Dubai, Kisah Kecekalan Dari Cikgu Nazmi Buat Netizen Tersentuh. Di sebalik gemerlap Global Teacher Prize 2025, kisah Cikgu Nazmi, seorang pendidik luar biasa dari SK Long Sebangang, Lawas, Sarawak, menyinari pentas global dengan keikhlasan dan inovasinya.

Di tengah persaingan ribuan pencalonan dari 89 negara, Cikgu Nazmi telah dikenali sebagai salah seorang daripada 10 finalis terunggul—sebuah pengiktirafan yang bukan sahaja menonjolkan kecemerlangan beliau sebagai pendidik, tetapi juga mendedahkan semangat juang seorang guru yang gigih membawa impak mendalam kepada masyarakat luar bandar.

image is not available
Dari Long Sebangang ke Dubai, Kisah Kecekalan Dari Cikgu Nazmi Buat Netizen Tersentuh. Kredit foto: FB Muhammad Nazmi

Namun, perjalanan Cikgu Nazmi ke Dubai telah membuka satu dimensi baharu buat dirinya, belajar dari perspektif rakan-rakan guru yang menyertai acara yang sama.


Kisah kecekalan guru dari seluruh dunia membuka mata Cikgu Nazmi

Pengiktirafan sebagai salah seorang daripada 10 finalis Global Teacher Prize adalah titik puncak perjalanan Cikgu Nazmi. Di Dubai, beliau bertemu dengan pendidik dari seluruh dunia—dari cikgu yang berjuang menentang perkahwinan kanak-kanak di Malawi kepada mereka yang membangunkan aplikasi pembelajaran dari pelosok India.

Mengambil petikan daripada kisah Cikgu Tiongee dari Malawi—di mana beliau berkongsi tentang perkahwinan kanak-kanak di sana. Malah, guru ini sendiri pernah menjadi mangsa perkahwinan seawal usia 14 tahun namun berjaya melepaskan diri. Perkahwinan kanak-kanak di sana ibarat seperti:

Ini barang-barang rumah dan dapur, saya bagi ini kepada kamu, kamu kahwinkan anak kamu dengan saya.”

Tiongee pun menceritakan bagaimana beliau telah menyelamatkan 15 ribu kanak-kanak perempuan daripada perkahwinan paksa dan memberi mereka kesedaran bahawa pendidikan itu penting. Wang kemenangan RM 1 juta USD pula, jika dimenangi, akan digunakan untuk membangun infrastruktur pendidikan seperti memperbaiki asrama, menyediakan katil tilam, dan mewujudkan ruang rekreasi untuk anak-anak.

image is not available
Ini Cikgu Tionge, 3 hari baru smpai ke Malawi, orang pertama di Malawi ke Top 10 dan first time dia keluar Malawi tengok dunia luar. – Cikgu Nazmi. Kredit foto: FB Muhammad Nazmi

Cikgu Nazmi juga bertemu dengan Cikgu Junmerth dari Filipina. Kisah Junmerth mengisahkan cabaran luar biasa untuk membawa murid-muridnya ke sekolah. Bayangkan, untuk sampai ke sekolah, beliau dan anak didiknya terpaksa melintasi sehingga 17 batang sungai di kawasan yang sentiasa ditunggu oleh kehadiran kumpulan bersenjata—satu cabaran yang begitu ekstrem. Walaupun Junmerth tidak berjaya mencapai Top 10, keberanian dan keazaman beliau telah meninggalkan impak yang mendalam.

image is not available
Yang di depan ni cikgu Junmerth. Happy go lucky saja, tapi effort dia nak menangis rasa. – Cikgu Nazmi. Kredit foto: FB Muhammad Nazmi

Tidak kurang hebatnya adalah kisah-kisah lain yang turut mewarnai pertemuan itu. Cikgu Imran dari India, yang sehinggalah hampir ingin bersara, telah berjaya mencipta 100 aplikasi pembelajaran yang kini digunakan di lebih daripada 50 negara—semuanya bermula dari sebuah sekolah kecil di pedalaman. Sementara itu, Cikgu Faith dari Ghana pula mengasaskan program “Reinventing Behind Bars” yang memberi harapan baru kepada wanita dalam penjara.

image is not available
Kanan tu Cikgu Imran, dari India, benda last dia cakap, “I want to make 9 more app before I retired, & named it after you guys.” Aku tunggu tu. – Cikgu Nazmi. Kredit foto: FB Muhammad Nazmi

Antara perjuangan lain para guru dari seluruh dunia yang diceritakan oleh Cikgu Nazmi adalah seperti menyelamatkan murid dari kancah pelacuran, membina sekolah pasca perang, perjuangan mengajar dalam keadaan konflik dan perang antara puak serta perjuangan isu penculikan murid dan pemerdagangan kanak-kanak.

Setiap pertemuan membawa pelbagai kisah kecekalan dan harapan, mengingatkan beliau betapa kisah guru lain dari seluruh dunia itu nyata lebih mencabar, dan adakalanya terpaksa menghadap bahaya jika dibandingkan dengan cabaran pendidikan di Malaysia.


Setiap usaha adalah sebuah kemenangan – walaupun tanpa pingat

Di tengah segala cabaran dan kisah inspirasi dari rakan-rakan pendidik lain, Cikgu Nazmi mendapati bahawa setiap detik perjuangannya adalah sebuah anugerah. Di sebuah majlis makan tengah hari yang penuh kehangatan, ketika soalan tentang “Apa yang akan kamu lakukan jika menang, dan jika tidak menang?” dilemparkan di tengah hidangan kek kunafa, semua hati seakan-akan terpaut dalam satu detik keikhlasan.

Di situ, air mata dan pelukan menyatukan mereka, menyatakan bahawa setiap usaha—walaupun tidak berakhir dengan piala—tetap menjadi kemenangan dalam mencipta impak yang mendalam.

image is not available
Kredit foto: FB Muhammad Nazmi


Sujud Syukur di Puncak Perjalanan

Setelah pengumuman pemenang, suasana di Dubai tidak lagi dikuasai oleh persaingan, tetapi oleh perasaan syukur dan kekeluargaan. Cikgu Nazmi, dengan hati yang penuh keikhlasan, merasakan bahawa setiap detik perjuangannya—dari 5,000 pencalonan sehingga penglibatan dalam program global—adalah satu anugerah memandangkan ramai lagi guru dari seluruh dunia yang dirasakan lebih layak dan membawa impak besar.

Namun, Cikgu Nazmi juga sedar bahawa dalam dunia pendidikan, kejayaan tidak diukur semata-mata daripada piala, tetapi daripada impak yang dirasai oleh setiap pelajar dan komuniti yang disentuhnya. Ucapan seorang pegawai dari Singapura yang berkata,

Guru-guru sekalian, hati saya remuk melihat kalian – walaupun pada hari yang bermakna untuk kamu semua meraikan kejayaan – kamu semua masih sibuk, mencari cara untuk membantu anak murid kamu. Saya sangat tersentuh. Orang seperti kami tidak akan dapat menjadi seperti kalian. Guru-guru seperti kalian adalah hanya ada satu dalam seribu,”

Perjalanan untuk membawa anak pedalaman merasai realiti kehidupan

Perjalanan Cikgu Nazmi bermula pada tahun 2019, ketika beliau mencipta filem pendek yang membuka mata beliau terhadap potensi luar biasa program Filpen. Melalui inisiatif unik seperti program Filpen, yang mengintegrasikan seni filem pendek dengan pembelajaran, Cikgu Nazmi telah mencipta satu ruang di mana kreativiti dan nilai murni bertemu.

Dari situ, beliau melihat bagaimana kreativiti anak didiknya dapat mengatasi kekangan realiti pedalaman. Inovasi seperti “The Danger-Room”—di mana kelas berubah menjadi simulasi kehidupan sebenar seperti stesen keretapi, kabin pesawat atau bahkan wad bayi—telah membuka minda pelajar dan mengukir senyuman serta air mata haru, menjadikan setiap detik pengajaran satu pengalaman yang mengubah hidup.


Inspirasi untuk Selamanya

Kisah Cikgu Nazmi dan guru dari seluruh dunia ini adalah lebih daripada sekadar perjalanan seorang guru menuju pengiktirafan global; ia adalah simbol harapan dan inspirasi bagi seluruh umat pendidik. Dalam setiap inisiatif yang beliau lancarkan, dari program Filpen hinggalah kepada idea-idea inovatif yang mengatasi segala rintangan, tersirat pesan bahawa pendidikan adalah kunci untuk membuka pintu masa depan yang lebih cerah. Beliau telah membuktikan bahawa dengan dedikasi, kreativiti dan keikhlasan, seorang guru dari pelosok Sarawak dan negara mampu menyentuh hati dan mengubah kehidupan ramai.

Di sebalik setiap sujud syukur yang dipanjatkan, tersimpan janji untuk terus mencipta perubahan—bukan hanya untuk dirinya, tetapi untuk setiap anak didik yang berusaha menggapai impian mereka. Kisah beliau mengajarkan bahawa setiap usaha, walaupun kecil, mampu menghasilkan impak yang besar, menjadikan setiap hari sebagai satu peluang untuk menyalakan lilin harapan di tengah gelapnya cabaran.

image is not available
Kredit foto: FB Muhammad Nazmi


Teruskan berkarya, teruskan menginspirasi Cikgu Nazmi

Kerana di mana ada guru yang penuh keikhlasan, di situ terbitlah cahaya yang menerangi masa depan bangsa. Cikgu Nazmi bukan sahaja telah membawa nama Malaysia ke pentas dunia, tetapi juga mengukir sejarah sebagai simbol kekuatan, dedikasi dan inspirasi yang abadi.

Baca juga inisiatif Cikgu Nazmi yang pernah kami terbitkan sebelum ini