MINGGU lalu, kita berbicara tentang bagaimana dunia perlahan-lahan kehilangan keupayaan untuk melihat semua nyawa sebagai sama nilainya. Tentang bagaimana empati menjadi semakin tumpul dan penderitaan tidak lagi menggoncang jiwa seperti dahulu.
Lalui kita bertanya, jika dunia sedang kehilangan rasa, di manakah ruang untuk kita memulihkannya? Ya, ia bermula di rumah.
Kita sering membicarakan tentang negara dalam bahasa yang besar melalui dasar, angka dan kestabilan.
Hakikatnya, negara tidak dibina daripada wacana semata-mata. Ia dibina daripada pengalaman harian manusia. Dan pengalaman itu bermula dalam ruang paling kecil iaitu keluarga.
Aidilfitri mempertemukan semula ruang ini. Di pagi raya, apabila lima atau enam beradik berkumpul dengan latar kehidupan yang berbeza, dengan pandangan yang tidak selalu sehaluan, di situlah berlangsung satu proses yang jarang kita sedari iaitu proses mendidik manusia untuk hidup dalam perbezaan.
Di meja makanlah kita belajar sesuatu bahawa tidak semua perbezaan perlu diselesaikan dengan pertentangan. Ada yang cukup diurus dengan adab.
Kita belajar berundur sedikit demi menjaga keharmonian. Kita belajar bahawa kemenangan mutlak dalam hubungan adalah tentang yang paling memahami. Dan tanpa disedari, kita sedang membina satu asas penting dalam pembinaan negara iaitu keupayaan untuk hidup bersama tanpa perlu menjadi sama.
Namun di luar rumah, realitinya sering berbeza. Hubungan kaum dan agama hari ini semakin mudah menjadi 'tajam'. Isu-isu kecil boleh membesar dengan pantas, diperkuat oleh emosi dan dipercepat oleh algoritma.
Dalam ruang digital, manusia tidak lagi hadir sebagai manusia sebaliknya mereka hadir sebagai identiti, simbol kepada sesuatu yang perlu dipertahankan atau ditentang.
Di sinilah empati mula terhakis. Apabila kita melihat wajah manusia melalui perbezaan, kita mula melihat mereka sebagai ancaman. Dan apabila itu berlaku, nilai manusia itu sendiri mula berubah — bukan lagi sesuatu yang mutlak, tetapi sesuatu yang bergantung kepada posisi, sentimen dan kepentingan.
Fenomena ini tidak terpisah daripada apa yang berlaku di peringkat global. Ia adalah pantulan sama, cuma dalam skala berbeza.
Apa yang berlaku di medan konflik dunia mengajar kita bahawa apabila empati hilang, keadilan menjadi relatif. Dan apabila keadilan menjadi relatif, manusia tidak lagi dilihat sebagai manusia sebaliknya sebagai alat dalam percaturan yang lebih besar.
Di sinilah Aidilfitri menawarkan satu kemungkinan berbeza. Ia bukan sekadar perayaan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi proses mengembalikan manusia kepada fitrah asalnya. Fitrah yang melihat manusia lain sebagai manusia, bukan sebagai musuh yang perlu ditewaskan.
Budaya ziarah, rumah terbuka dan bermaafan bukan sekadar adat. Ia adalah mekanisme sosial yang menumpulkan ketajaman ego dan prasangka yang terbina sepanjang tahun.
Sangat sukar untuk kita membenci seseorang yang pernah duduk semeja, berkongsi tawa dengan kita, apatah lagi melihatnya sebagai lawan. Di situlah sebenarnya pembinaan negara bermula, di ruang-ruang kecil yang membina kepercayaan antara manusia.
Dalam kerangka Malaysia Madani, nilai ihsan dan hormat sering diangkat sebagai asas. Namun nilai ini tidak akan hidup melalui slogan. Ia akan hidup jika ia dialami dan Aidilfitri ruang untuk pengalaman itu berlaku.
Tetapi cabaran sebenar bukan pada hari raya itu sendiri. Cabaran sebenar ialah apa yang berlaku selepasnya.
Adakah nilai yang kita hidupkan di pagi raya akan kekal dalam cara kita berinteraksi selepas ini? Atau ia sekadar menjadi satu jeda sementara sebelum kita kembali kepada dunia sama? Kerana jika Aidilfitri hanya menjadi ritual tahunan tanpa kesinambungan makna, maka kita sebenarnya tidak memulihkan apa-apa. Kita hanya menangguhkan keletihan.
Sebaliknya, jika kita benar-benar memahami makna di sebalik perayaan ini, maka Aidilfitri boleh menjadi titik mula kepada sesuatu yang lebih besar.
Dalam dunia yang semakin menerima bahawa tidak semua nyawa itu sama nilainya, mempertahankan kepercayaan bahawa setiap manusia itu berharga adalah satu keberanian.
Dan keberanian itu dengan cara kita melihat orang lain selepas kita bangun dari meja makan Aidilfitri.
Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya
