Dari Nahas Pesawat Hingga Kes Zayn Rayyan, Ini 7 Tragedi Yang Berlaku Pada Tahun 2023

30 Dec 2023 • 12:30 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita bakal memasuki tahun 2024. Meskipun teruja untuk ke tahun baharu dengan semangat yang positif namun tidak dinafikan 2023 telah banyak memberi pengajaran kepada setiap individu.

Sepanjang tahun ini, pelbagai perkara telah berlaku ada yang suka, duka dan bermacam-macam lagi. Namun setiap yang berlaku itu pasti mempunyai hikmah dan pengajaran di sebaliknya.

Oleh itu, sebelum meninggalkan tahun 2023 kami ingin menyenaraikan sebanyak tujuh tragedi yang telah menggemparkan negara sepanjang tahun ini.

#1 Pesawat terhempas di Elmina

image is not available

Pada 17 Ogos lalu, dilaporkan sebuah pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) telah terhempas di kawasan perumahan Elmina, Seksyen U16, Shah alam.

Video berhubung kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan keadaan ketika pesawat itu terhempas sebelum terbakar.

Pesawat ringan itu difahamkan telah berlepas daripada Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Subang pada pukul 2.08 petang.

Insiden tersebut telah mengorbankan seramai 10 individu termasuk penunggang motosikal serta pemandu kereta.

Antara individu yang dikenal pasti terkorban adalah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Datuk Seri Johari Harun, Juruterbang Kapten Shahrul Kamal Roslan, dan penghantar makanan Foodpanda, Muhammad Hafiz Muhamad Salleh.

#2 Mayat warga asing dijumpai dalam bagasi di lebuhraya Utara-Selatan

image is not available

Pada 17 Januari, rakyat Malaysia telah digemparkan dengan penemuan satu mayat di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Rawang Selatan arah utara di Kuala Lumpur pada pukul 2 petang.

Mayat tersebut telah ditemukan dalam keadaan dikerat kepada enam bahagian. Walau bagaimanapun identiti mayat tersebut tidak diketahui kerana tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

Siasatan awal mendapati mayat berkenaan adalah milik warga asing.

Susulan daripada insiden penemuan mayat tersebut, polis pada Mac lalu telah menahan seramai 15 warga asing untuk membantu siasata.

Mereka yang ditahan berusia sekitar 24 hingga 54 tahun dari terdiri daripada 13 orang warga Nepal (12 lelaki dan seorang wanita), dua warga Indonesia (seorang lelaki dan seorang perempuan) serta seorang lelaki Filipina.

Menurut polis, berdasarkan siasatan yang dilakukan motif pembunuhan dipercayai kerana dendam peribadi.

Pada April, seorang lelaki warganegara Nepal didakwa atas pertuduhan membunuh mangsa, Raj Kar Ki, 48.

#3 Pegawai kanan polis langgar pelajar sekolah menengah

image is not available

Insiden kemalangan maut yang melibatkan seorang pelajar SMK Jati, Jalan Taman Jati 1, Ipoh, Perak yang dipercayai dilanggar oleh seorang pegawai kanan polis antara yang mengejutkan negara.

Kejadian itu difahamkan berlaku selepas pegawai kanan polis berkenaan tidak berpuas hati dengan mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang membuat bising menggunakan ekzos motosikal.

Ekoran itu, pegawai kanan polis itu kemudiannya ditahan serta dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada 18 Disember dan didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Pegawai kanan polis yang dikenali sebagai Mohd. Nazri Abdul Razak telah didakwa melakukan bunuh dengan menybabkan kematian kepada mangsa. Ketika pertuduhan dibacakan oleh Majistres S. Punitha, tertuduh hanya menganggukkan kepala tanda faham.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Februari 2024 untuk sebutan semula kes.

#4 Zayn Rayyan

image is not available

5 Disember lalu, negara telah digemparkan dengan berita kehilangan seorang kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan berusia enam tahun. Zayn dilaporkan hilang dalam keadaan berpakaian seragam sekolah.

Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa kemudiannya dijalankan sebelum jasadnya yang sudah tidak bernyawa ditemukan pada 6 Disember.

Mayat Zayn ditemukan di anak sungai berhampiran kawasan rumah sekitar jam 10 malam. Pihak polis kemudiannya mengesahkan mangsa mati dibunuh, ini kerana terdapat unsur jenayah pada tubuh kanak-kanak itu.

Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati terdapat kesan cedera di bahagian leher dan badan mangsa. Kertas siasatan kemudian dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis juga giat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam kes tersebut.

Oleh itu, sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) penduduk di Apartment Idaman, Damansara Damai turut diambil untuk membantu siasatan berhubung kes pembunuhan itu.

Bukan hanya itu pemeriksaan unit rumah serta premis perniagaan juga dilakukan.

Selain itu, terdapat dua orang saksi kanak-kanak yang mendakwa ternampak Zayn sekitar lima jam sebelum dia dilaporkan hilang.

Siasatan masih lagi berlangsung, bahkan PDRM turut meminta bantuan INTERPOL (Polis Antarabangsa) bagi membantu siasatan.

Baca artikel berkaitan: PDRM Sahkan Zayn Rayyan Dibunuh

#5 Bapa terbakar ketika nak selamatkan anak

image is not available

Sebelum ini, kami ada melaporkan insiden kemalangan sebuah kenderaan Honda Jazz yang terbakar di Kota Bharu, Kelantan pada November lalu.

Kereta Honda Jazz yang dinaiki oleh tiga beranak itu terbakar selepas terbabas serta melanggar tiang lampu.

Mangsa iaitu Wan Sharizat Azwan Wan Shahril berusia 28 tahun kemudiannya dilaporkan meninggal dunia selepas lapan hari bertarung nyawa kerana mengalami cedera parah dan melecur seluruh badan.

Manakala bayi perempuannya, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat berusia tujuh bulan dilaporkan meninggalkan dunia serta ditemukan rentung ketika kejadian.

Isteri kepada mangsa, Nur Hasifah Razni bagaimanapun mengalami kecederaan ringan serta trauma. Malah turut mendedahkan selepas kejadian kemalangan itu, dia sering terbangun jam 4 pagi dan takut menaiki kenderaan dalam tempoh lama.

#6 Mayat wanita kena simen

image is not available

Penemuan mayat seorang wanita yang telah disimen dalam bilik air di Kampung Pendamar, Klang turut mendapat perhatian ramai.

Ekoran daripada penemuan mayat wanita itu, pihak polis kemudiannya telah bertindak menahan seorang lelaki dan mengesan dua lagi suspek untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Walau bagaimanapun menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan tidak menolak kemungkinan mayat itu dibunuh sejak lebih setahun lalu.

Ini kerana dua suspek, Ranjit Singh serta Mandeep Singh dipercayai telah menyewa rumah terbabit sejak 2019 hingga 2021.

Keterangan tiga individu termasuk tuan rumah turut diambil dan Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 9 Disember, polis telah mengenal pasti identiti mangsa iaitu seorang wanita warga India berusian sekitar 30-an.

Mangsa difahamkan teman wanita kepada salah seorang suspek.

#7 Bayi meninggal dunia dalam kereta kerana bapa terlupa

image is not available

24 Oktober lalu, tular kes membabitkan bayi perempuan berusia 16 bulan yang dilaporkan meninggal dunia selepas dijumpai tidak sedarkan diri jam 4.30 petang.

Bayi itu dijumpai berada dalam sebuah kenderaan di universiti awam (UA) di Kuala Nerus, Terengganu.

Hasil siasatan yang dilakukan mendapati bapa kepada bayi berkenaan yang juga berkhidmat di universiti terbabit terlupa menghantar anak perempuannya ke pusat asuhan di kampus yang sama.

Panik melihat keadaan anak, bapanya kemudian segera menghantar bayi tersebut ke pusat kesihatan universiti tersebut.

Pihak pusat kesihatan kemudiannya memaklumkan bayi tersebut telah meninggal dunia, mayatnya dihantar ke Jabtan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Pihak polis turut mengambil keterangan penjaga kepada bayi tersebut untuk melakukan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Selain tujuh yang disenaraikan ini antara tragedi lain yang turut berlaku pada tahun 2023: