
Menelusuri kehidupan Laura Munan, kisah penyanyi merentas New Zealand dan Sarawak
Dari New Zealand Ke Bumi Kenyalang, Kenali Laura Munan Penyanyi Berbakat Asal Sarawak. Seorang penyanyi dan penulis lagu yang berbakat, berasal dari New Zealand dan Sarawak, Laura Munan telah berkongsi kisah hidupnya yang menarik. Beliau dilahirkan di New Zealand dan membesar di sebuah ladang di Pulau Selatan sebelum berpindah ke Sarawak semasa sekolah menengah.
Pengalaman membesar dalam dua budaya yang berbeza ini memberi Laura satu perspektif yang istimewa dalam kehidupan dan karyanya.

Walaupun masih belum mencapai kejayaan besar dalam industri muzik, gadis berusia 24 tahun itu telah mencatat pencapaian penting dengan melancarkan Single sulungannya ‘Solstice’ pada Mei tahun ini.
Beliau menyatakan bahawa buat masa ini, pengeluaran Single tersebut merupakan pencapaian utama dalam kariernya sejauh ini.
Insipirasi menghasilkan muzik daripada kehidupan sehariannya
Dalam pada itu, Laura turut berkongsi mengenai inspirasinya untuk menghasilkan muzik. Menurutnya, ia datang daripada kehidupan seharian, dengan memerhati persekitarannya, alam semula jadi, dan cuaca.
Single sulungnya, Solstice menceritakan kisah tentang tempat-tempat yang beliau kunjungi, dengan sebahagian muzik ditulis di Wellington, New Zealand dan sebahagian lagi di Kuching, Sarawak.

Salah satu impian Laura adalah mahu hasilkan album sulung
Selain itu, Laura masih mempunyai banyak impian yang ingin dicapai dalam kerjaya muziknya. Antaranya, beliau ingin mendapat lebih banyak pengalaman persembahan secara langsung dan berkolaborasi dengan muzik tempatan di Sarawak.
Beliau juga berhasrat untuk menggabungkan lebih banyak unsur budayanya ke dalam penulisan lagu. Namun, impian terbesarnya adalah untuk menjadi seorang artis yang menghasilkan album sulung.
Buat masa ini, fokus utama Laura adalah untuk terus menulis lagu bagi merakamkan detik-detik kehidupannya kembali di Malaysia selepas beberapa tahun di New Zealand.
Beliau juga sedang merancang projek-projek baharu, termasuk berkolaborasi dan mengeksplorasi genre dan gaya muzik yang pelbagai. Peminat boleh terus mengikuti Laura di media sosialnya, lauramunan di Instagram untuk mendapat maklumat terkini mengenai pelancarannya pada masa hadapan.
