
Huawei Malaysia mula bertapak di Malaysia 25 tahun lalu bagi menyediakan infrastruktur telekomunikasi, kemudiannya mula memasarkan peranti pintar kepada pengguna awam. Malah kerjasama Huawei tidak terhad kepada dua industri sahaja, termasuklah dengan kolaborasi bersama agensi dan institusi tempatan. Hari ini menerusi Huawei Digital Power telah mengorak langkah seterusnya dengan mengumumkan solusi tenaga solar mereka untuk pasaran Malaysia yang lebih meluas.

Ini bukanlah kali pertama mereka meneroka dalam industri solar tempatan, kerana mereka telah menguasakan beberapa lokasi dengan tenaga solar antaranya Batang Ai, Sarawak, dan juga menerusi kerjasama dengan TNB sejak tahun 2023 lagi menerusi perjanjian persefahaman Grid Forming. Sejajar dengan solar, adalah solusi bateri (BESS) yang digunakan untuk menyimpan tenaga solar. Bateri ini juga boleh digunakan bagi menyimpan tenaga dari grid nasional, sebelum digunakan pada kemudian hari dan dapat mengurangkan permintaan tenaga elektrik pada waktu puncak.

Solusi bateri ini juga dapat menjimatkan tenaga. Salah satu perkongsian Huawei adalah bagaimana mereka dapat menjimatkan penggunaan tenaga Yoonsteel (Malaysia) Sdn Bhd, salah satu perusahaan berat yang bergiat dalam industri besi di Ipoh, Perak. Menerusi modul bateri yang dipasang, mereka dapat menjimatkan permintaan tenaga sehingga 25% menerusi sistem BESS 432kW / 860 kWh

Solusi yang diumumkan Huawei hari ini ialah FusionSolar 9.0 PV & ESS yang lebih baik dari sistem solar terdahulu. Sistem ini merupakan. gabungan grid forming string inverter dan juga janaan solar photovoltaic (PV) 1000-volt AC. Sistem ini dapat menyokong janaan kuasa solar sehingga 11MW. Seterusnya ia turut ditawarkan dengan 506KTL Smart String Inverters dan janakuasa generasi baharu 3000/7000/11,000 kVA Smart Transformer Station (STS). Menyempurnakan sistem ini ialah storan tenaga LUNA2000-241 yang sangat efisien dengan penjadualan disokong AI.
Gabungan FusionSolar 9.0 Smart PV & ESS ini merupakan solusi untuk perusahaan dapat memberikan penjimatan sehingga USD 300,000. Dengan perkembangan tenaga pada masa kini, Huawei menyasarkan dapat membantu sasaran Malaysia dalam mencapai tenaga lestari sebanyak 70% menjelang tahun 2050.
