
Dari Tanduk Kerbau Jadi Cermin Mata, Rafiq Tonjol Keunikan Kraf Buatan Tangan
Usaha, doa dan harapan menjadi antara ‘ramuan’ yang membawa kepada kejayaan lebih besar. Mungkin ramai yang masih lagi tercari-cari arah dan peluang, namun setiap langkah kecil tetap membawa makna dalam perjalanan hidup seseorang.
Walaupun mungkin pada awalnya kelihatan samar, namun kegigihan dan minat yang mendalam menjadi perisai untuk menghadapi rintangan yang mendatang.
Seperti kisah Rafiq Karim, 27, yang kini sedang mengorak langkah memulakan perniagaan cermin mata, hasil buatan tangannya sendiri.
Cermin mata unik dari tanduk kerbau
Lebih istimewa, cermin matanya diperbuat daripada tanduk kerbau.
Lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu merupakan seorang juruteknik dan pakar membuat acuan, sekaligus menunjukkan bahawa dia seorang yang hands on atau praktikal.
Tidak mahu mensia-siakan kecintaannya terhadap dunia penciptaan atau rekaan ini, Rafiq membuat keputusan untuk membuka perniagaan cermin mata yang dipanggil sebagai Karsa.
Namun, keputusan itu juga dibuat selepas melalui detik sukar ketika menjalankan perniagaan makanan dan minuman sebelum ini.
“Sebelum saya memulakan perniagaan cermin mata ini, saya ada perniagaan sampingan bersama teman wanita (sekarang isteri).
“Perniagaan yang kami jalankan ialah menjual makanan dan kopi Vietnam. Ibu saya orang Vietnam.
“Selepas kami berkahwin, isteri pula sudah melahirkan anak, ia membuatkan perniagaan kami terbantut. Dengan keadaan sebegini, saya mula mencari idea untuk memulakan perniagaan baharu. Perniagaan yang sesuai dengan selera saya iaitu mencipta sesuatu.
“Justeru saya memilih mencipta bingkai cermin mata dari tanduk sebagai perniagaan baharu saya,” katanya kepada SK.
Minat yang mendalam
Menurutnya, ketika mencari idea baharu untuk memulakan perniagaan jenis apa, dia tetapkan untuk berniaga dalam dunia fesyen dan kraf.
Ada empat pilihan utama iaitu barangan kulit, batik, denim dan cermin mata.
“Setelah saya buat kajian saya sendiri, saya lebih tertarik dengan pembuatan bingkai cermin mata. Membuat bingkai ini perlukan banyak proses seperti memotong, membentuk, menebuk dan mereka.
“Proses-proses ini betul-betul buat saya tertarik dan jatuh cinta. Kerana saya cintakan kerja-kerja seperti ini,” kongsinya.
Bagi pemilihan tanduk kerbau sebagai bingkai cermin mata pula, Rafiq menjelaskan bahawa bahan itu adalah sangat biasa dalam dunia cermin mata mewah buatan tangan.
“Apa yang saya suka tentang tanduk kerbau ini kerana ia bahan yang tidak mencemar alam seperti plastik. Ia juga merupakan byproduct di mana pengedar tidak membunuh kerbau semata-mata untuk tanduk.
“Tanduk ialah bahan sampingan dari industri daging kerbau,” katanya.

Kelainan adalah kunci
Ujarnya lagi, sebab utama tanduk kerbau dipilih kerana masih belum ada yang menggunakan bahan itu untuk membuat cermin mata di Malaysia. Ini sekaligus dapat menonjolkan keunikan jenama cermin matanya dan lebih eksklusif.
“Untuk lebih mendapat sambutan, saya fikir kelainan adalah kuncinya,” katanya lagi.
Rafiq berkata tanduk kerbau itu dibeli dari negara pengeksport daging kerbau terbesar dunia iaitu India.
Selain itu, nama perniagaan yang dipilih olehnya juga mempunyai makna dan falsafahnya yang tersendiri.
“Karsa bermaksud niat atau dorongan untuk buat sesuatu dan apa yang saya buat ini adalah dari rasa itu, keinginan saya untuk mencipta sesuatu.
“Saya sentiasa berangan dan bercita-cita untuk buat sesuatu atau menjadi yang terawal. Itulah karsa saya,” katanya.

Rafiq juga berkongsi bahawa dia tidak mampu untuk belajar membuat cermin mata di luar nagara. Disebabkan itu, dia belajar proses membuat cermin mata sendiri berpandukan video-video dari pembuat lain sejak 2023 lagi.
“Untuk belajar membuat bingkai cermin mata di Bangkok, ia mengambil masa selama tiga hari dengan yuran hampir RM10,000. Saya tidak mampu, maka saya belajar sendiri,” katanya.
Antara proses penting untuk membuat bingkai cermin mata itu adalah melibatkan rekaan, pemotongan, membentuk, pemasangan engsel dan menggilap.
Ujarnya, proses untuk membuat satu bingkai boleh mengambil masa selama 10 jam hingga ke 13 jam.

Ambil masa bertahun untuk mahir
Dalam masa yang sama, dia juga mengambil masa bertahun untuk mendapatkan rentak dan kemahiran berkaitan proses rekaan dan pemasangan engsel kerana ia sangat sukar.
Ini menjadi salah satu cabaran yang perlu dilaluinya dalam menghasilkan bingkai yang berkualiti.
“Belajar tanpa guru memerlukan otak yang inovatif dan kemahuan yang tinggi. Melawan rasa putus asa juga antara cabaran terbesar,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran itu, Rafiq tetap bangkit dan meneruskan juga usaha kerana minat dan cintanya terhadap dunia kraf.
Perniagaannya itu dijangka akan bermula pada bulan Jun nanti dan Rafiq kini sedang muktamadkan harga dan pembungkusan.
Dia juga perlu memastikan produk itu menepati piawaian yang telah ditetapkan olehnya.
Apabila perniagaan sudah bermula nanti, Rafiq berkata dia akan cuba mengusahakan supaya orang tidak hanya memandang jenamanya, tetapi turut menghargai hasil kerjanya.
“Falsafah saya mudah, saya menjual hasil kerja, bukan jual jenama. Doakan saya dapat terapkan falsafah ini pada pembeli nanti,” jelasnya.
Malah, dia juga mempunyai sasaran pasaran iaitu mereka yang cintakan fesyen.
“Maksud saya, fesyen yang sebenar, bukan pada jenama, tetapi pada perjalanan dalam penghasilan produk ini.
“Mungkin pasarannya kecil tetapi saya yakin ada, seperti pencinta denim, barangan kulit, seni dan muzik. Saya yakin ini selera mereka,” katanya lagi.

Berharap hasil kerja dihargai
Dia berharap pembeli dapat menghargai hasil buatan tangannya kerana kualiti yang dicipta olehnya tidak mampu direka oleh mesin.
“Apa yang mereka dapat dari saya ialah hasil saya sendiri. Walau mereka beli dua bingkai yang rekaannya sama dari saya, percayalah, dua bingkai itu tidak akan sama. Ini yang kita nak dalam dunia kraf, beza penghasilan antara mesin dan manusia,” ujarnya.
Kepada orang-orang yang ingin mencuba sesuatu yang baharu sepertinya, Rafiq berkata minat dan cinta mendalam terhadap perkara itu perlu ada dalam diri.
Baca juga:
Minat Dipupuk Sejak Kecil Bawa Shahrul Selami Sejarah Kartografi Lama
Pesan Arwah Ibu Jadi Azimat, Mak Jah Tetap Jual Nasi Murah Demi Orang Susah
Bukan Sekadar Cari Untung, 37 Tahun Ayam Bismi Kekal Pegang Prinsip Halalan Toyyiban
Jarang Didengari, Syafiq Galas Tugas Penting Dalam Industri "Feed Mill" Di Australia
Rasa cinta itu akan mencipta keinginan yang tidak mengenal erti putus asa serta menonjolkan perbezaan kita berbanding orang lain.
“Elakkan buat sesuatu yang sudah ramai orang buat. Buat betul-betul, belajar betul-betul. Letakkan standard di aras yang tinggi. Insha Allah akan dipermudahkan. Majulah dunia kraf untuk negara,” katanya mengakhiri temubual.
Semoga perniagaan Rafiq berjalan seperti yang diimpikannya. Bagi anda yang ingin menelusuri lebih lanjut mengenai proses rekaan cermin mata itu, ikuti Rafiq di Threads karsamade_.
