Dari Twitter Ke Meja Menteri, Pemilik Harap Angkasa Kembali Dibuka

26 Jul 2022 • 9:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohd Zulhelmie (empat dari kiri) semasa pertemuan bersama Setiausaha Sulit Menteri Wilayah, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi (lima dari kiri) - Gambar Twitter @elmielmo

Perbincangan hangat penutupan ruang acara Angkasa Event Space dipandang serius apabila pemiliknya dan beberapa penggiat seni yang lain bertemu empat mata dengan wakil pihak berkuasa hari ini. 

Dalam pertemuan bersama Setiausaha Sulit Menteri Wilayah, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi, beberapa isu telah dibangkitkan antaranya prosedur penyitaan serta jumlah pembayaran lesen hiburan yang tidak munasabah untuk ruang acara kecil. 

Pemilik Angkasa Event Space, Mohd Zulhelmie Zullifan atau Elmi telah mengusulkan beberapa cadangan untuk memastikan tidak ada lagi pihak yang mengalami situasi penyitaan seperti ini di masa hadapan.

“Dalam perbincangan tadi, sepatutnya pihak DBKL memberikan dua kali notis amaran dan bukannya terus menyita ruang acara kami. Namun, mungkin kerana ia prosedur baru, maka ia belum sepenuhnya dilaksanakan. 

“Kami juga menyerahkan surat pengecualian daripada membayar kompaun kepada mereka. Namun, ia bergantung juga kepada pihak berkuasa sama ada akan mengurangkan bayaran atau melepaskan kami daripada membayar sebarang kompaun. 

“Seterusnya, kami meminta agar lesen hiburan ini dikaji. Perlu ada kategori kerana jumlah sebesar itu wajar dipertimbangkan semula khususnya untuk seni yang bukan komersial seperti kami,” katanya ketika dihubungi Getaran. 

Menurut Elmi, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneliti semula cadangan yang diberikan dan memanjangkan isu ini kepada pihak DBKL selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Harapan kami semoga pihak DBKL memberi peluang dan kelonggaran memandangkan ini kesilapan pertama kami. Harga lesen juga semoga dipertimbangkan supaya komuniti seni kecil dapat mendapatkan lesen hiburan dengan betul dan murah. 

“Kebanyakan ruang acara hanya menggunakan lesen rakaman kerana jumlah lesen hiburan yang terlalu besar. Apa yang penting, semoga Angkasa dapat dibuka semula,”katanya menutup temu ramah.

Terdahulu, ruang acara Angkasa Event Space disita pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak mempunyai permit dan lesen hiburan pada Ahad. - Getaran, 26 Julai 2022

View Original Article