Daripada 163 Negara, Malaysia Negara Ke-18 Paling Aman Di Dunia

22 Nov 2022 • 6:22 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Jangan kufur nikmat yang diberi ini gais.

Daripada 163 Negara, Malaysia Negara Ke-18 Paling Aman Di Dunia. Menerusi hasil kajian terbaharu yang dilaporkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) bagi tahun 2022, Malaysia berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok teratas negara paling aman di dunia.

Menerusi laporan yang dikeluarkan pada bulan Jun 2022, Malaysia menduduki tangga ke-18 negara paling aman di dunia dengan skala 1.47, dan merupakan negara ketiga paling aman di Asia selepas Singapura (tangga ke-9) dan Jepun (tangga ke-10).

image is not available
Daripada 163 Negara, Malaysia Negara Ke-18 Paling Aman Di Dunia. Kredit: ake1150 – Fotolia

Malaysia negara ke-18 teraman di dunia, ke-3 di Asia

Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 ini diukur berdasarkan 23 petunjuk yang dinilai dari skala 1 hingga 5. Skala yang rendah menunjukkan tahap keamanan yang tinggi dalam sesebuah negara. Kajian ini meliputi 99.7% populasi dunia meliputi aspek seperti tahap keselamatan dan kawalan sosial, tahap konflik antarabangsa dan domestik yang sedang berlangsung, serta tahap ketenteraan.

Antara petunjuk keamanan yang tinggi di Malaysia adalah akses kepada senjata, konflik terancang (dalaman), kematian akibat konflik dalaman, eksport senjata, hubungan negara jiran, kematian akibat konflik luaran, konflik luar, serta konflik dalam negeri dan antarabangsa. Kesemua petunjuk ini berada di sekala paling rendah iaitu skala 1.

image is not available
Kredit: NST

Manakala, petunjuk keamanan yang agak rendah adalah populasi rakyat yang dipenjarakan, keganasan politik, serta pegawai polis dan keselamatan. Kesemua petunjuk ini mendapat skala 2.5 dan ke atas namun tiada petunjuk yang melebihi skala 3.

Iceland pegang rekod 14 tahun negara paling aman di dunia

Negara paling aman di dunia pula diketuai oleh Iceland dengan skala paling rendah iaitu 1.107, diikuti New Zealand (1.269), Ireland (1.288), Denmark (1.296), dan Austria (1.3). Menariknya, Iceland telah memegang takhta negara paling aman di dunia sejak tahun 2008, iaitu selama 14 tahun!

image is not available
Iceland, negara paling aman di dunia. Kredit: uk.hotels.com

Manakala negara yang paling tidak aman adalah Afghanistan (3.554), kemudian Yaman (3.394), Syria (3.356), Rusia (3.275) dan Selatan Sudan (3.184).

Tahap keamanan dunia merosot akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan peningkatan kos

Secara keseluruhannya, tahap keamanan dunia merosot sekitar 0.03% dan merupakan kemerosotan ke-11 yang diperhatikan sepanjang 14 tahun terakhir ini. Meskipun peratusannya nya kecil, namun trend kemerosotan dilaporkan lebih cepat berlaku berbanding memperbaiki tahap keamanan sesebuah negara.

Antara punca kemerosotan keamanan di dunia adalah disebabkan jumlah kematian yang berpunca daripada konflik luaran yang didorong oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Selain itu, kebimbangan utama juga adalah disebabkan peningkatan kos yang turut mengancam sekuriti makanan dan ketidakstabilan politik di seluruh dunia.

image is not available
Kredit: Mstyslav Chernov via AP Photo

Hargai nikmat keamanan, usah terlalu taksub

Lihatlah. Negara kita ni boleh tahan ‘top’ juga ya skala keamanannya. Apatah lagi Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan agama. Jadi, tidak wajar untuk kita taksub ‘bermain api’ dengan sentimen yang mampu menggugat keamanan dan kesejahteraan kaum sejagat. Lagi-lagi mengungkit sejarah lama yang patut dijadikan pedoman untuk kita semakin bersatu, dan bukannya membangkitkan semula permusuhan jelas mendatangkan mudarat dan tidak bermanfaat sama sekali.