'Daripada larang budak datang masjid, baik cari kaedah sesuai' - Imam

LocalFamily & Parenting
6 Mar 2026 • 9:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kid's Zone Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) menempatkan kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun dan dikendalikan oleh kakitangan wanita masjid bersama beberapa sukarelawan yang bertugas secara bergilir bermula jam 8.30 malam.
image is not available
Abd Farid menunjukkan bahan-bahan bacaan yang tersedia di ruang Kid's Zone Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri).

IPOH – Gelagat kanak-kanak yang bermain atau berlari di ruang solat sering menjadi cabaran kepada jemaah untuk menunaikan ibadah dengan lebih khusyuk, terutama ketika solat tarawih pada bulan Ramadan.

Menyedari situasi tersebut, pengurusan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini mengambil pendekatan mesra keluarga dengan mewujudkan ruang khas dikenali sebagai Kid's Zone bagi menempatkan kanak-kanak sepanjang ibu bapa mereka menunaikan solat.

Ruang khas yang disediakan itu membolehkan kanak-kanak bermain sambil belajar dalam persekitaran selamat dan terkawal, sekali gus memberi ketenangan kepada ibu bapa untuk beribadah.

Bukan sahaja aktiviti melukis, mewarna dan membaca, pengurusan masjid turut menyediakan sudut tontonan video kisah nabi atau cerita yang memberi nilai positif kepada kanak-kanak.

Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II, Abd Farid Salleh berkata, kemudahan tersebut mula diperkenalkan sejak 2019 selepas pihak pengurusan menyedari ramai jemaah yang hadir berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama anak kecil.

Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak menimbulkan cabaran kepada jemaah lain untuk menunaikan ibadah dengan lebih khusyuk terutama apabila ada kanak-kanak yang bermain atau berlari di ruang solat.

**media[3454462]**

"Daripada kita melarang mereka datang ke masjid, lebih baik kita mencari kaedah yang sesuai untuk menguruskan mereka supaya ibu bapa dapat solat dengan lebih tenang.

"Jadi lahirlah idea Kid's Zone ini dengan memanfaatkan salah satu dewan kuliah masjid sebagai ruang khas untuk kanak-kanak," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau berkata, Kid's Zone tersebut menempatkan kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun dan dikendalikan oleh kakitangan wanita masjid bersama beberapa sukarelawan yang bertugas secara bergilir bermula jam 8.30 malam.

Katanya, tahun ini kemudahan itu dipertingkatkan lagi apabila pihak masjid menerima sumbangan papan sensori daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak yang sesuai digunakan oleh kanak-kanak termasuk mereka yang berkeperluan khas.

"Sejak diwujudkan, pelbagai pihak termasuk individu serta pertubuhan turut menyumbang peralatan permainan dan bahan pembelajaran.

"Ada yang menyumbang buku, permainan dan ada juga yang berkongsi pandangan serta pengalaman menguruskan ruang kanak-kanak seperti ini.

"Semua ini membantu kita menjadikan Kid's Zone lebih menarik dan selesa untuk anak-anak," katanya.

Abd Farid berkata, sambutan masyarakat terhadap inisiatif tersebut amat menggalakkan dengan ibu bapa juga secara sukarela membantu menjaga kanak-kanak di Kid's Zone ketika mereka tidak menunaikan solat.

"Setiap malam antara 30 hingga 50 kanak-kanak ditempatkan di sini sepanjang solat tarawih dilaksanakan.

"Insya-ALLAH daripada kecil lagi mereka sudah terbiasa datang ke masjid dan akhirnya akan menjadi generasi yang terus memakmurkan rumah ALLAH," katanya.