GERIK – Pembangunan sebuah institusi agama, Darul Tahfiz Gerik di Kampung Tanjung Rambai, di sini giat dijalankan melibatkan kemudahan asas bagi melahirkan lebih ramai hafiz al-Quran pada masa depan.
Pengerusi Darul Tahfiz Gerik, Hazmin Mokhtar berkata, tapak seluas kira-kira dua hektar itu bakal mempunyai beberapa kemudahan asas termasuk rumah guru serta asrama pelajar.
Hazmin berkata, pihaknya juga akan membina surau, membangunkan dewan makan serta pelbagai kemudahan lain termasuk padang permainan bagi keselesaan dan kesejahteraan pelajar.
“Pembinaan tapak dimulakan namun masih banyak lagi yang diperlukan untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih lengkap dan kondusif,” katanya.
“Anggaran kos keseluruhan pembangunan yang diperlukan adalah sekitar RM1.5 juta,” katanya kepada Sinar Harian.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan harapan agar lebih ramai pihak dapat bersama-sama menyokong usaha pembangunan institusi pendidikan berkenaan demi kelangsungan pendidikan al-Quran dan pembentukan generasi hafiz al-Quran.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, pihak pengurusan boleh dihubungi di talian Hazmin 017-9422753.
Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Darul Tahfiz Gerik, CIMB Bank 8601193885.





