PUTRAJAYA - Syarikat automotif, Great Wall Motor (GWM) Malaysia akan menilai strategi dan operasinya di negara ini secara menyeluruh susulan pengumuman dasar baharu import kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya import (CBU) oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Ketua Pegawai Operasi GWM, Roslan Abdullah memaklumkan langkah itu bagi memastikan pihaknya kekal kompetitif serta terus menawarkan produk dengan nilai, teknologi dan inovasi terbaik kepada pengguna Malaysia.
Menurutnya, dua syarat baharu yang merangkumi had kuasa motor minimum diselaraskan daripada 200kW kepada 180kW dan nilai kos, insurans serta pengangkutan minimum sebanyak RM200,000 memberi kelebihan kepada pengeluar kenderaan asal (OEM) yang mempunyai operasi kenderaan pasang semula (CKD) serta tahap kandungan komponen tempatan yang lebih tinggi.
"Dari perspektif industri, ia boleh mempengaruhi struktur kos dan strategi penawaran sesuatu model di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian dasar baharu yang diumumkan MITI pada Rabu selepas tempoh pengecualian khas bagi pengimportan EV di bawah AP Francais dalam bentuk CBU selama empat tahun telah tamat pada 31 Disember tahun lalu.
Dalam pada itu, Roslan berkata, ketetapan MITI itu dilihat selari dengan usaha membangunkan keupayaan automotif tempatan dan industri EV negara dalam jangka panjang.
Menurutnya, pelaksanaan CKD EV ketika ini mempunyai cabaran tertentu khususnya dari segi skala perkembangan pasaran EV serta ekosistem vendor tempatan yang masih di peringkat pembangunan.
"Faktor-faktor ini memberi kesan kepada kecekapan kos dan kelestarian operasi CKD bagi sesetengah model EV pada masa ini," jelas beliau.





