SHAH ALAM – Penilaian ekonomi komprehensif mendedahkan bahawa pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) secara besar-besaran berpotensi menjejaskan kestabilan ekonomi negara walaupun menjimatkan RM169 juta sebulan.
Pengerusi Penggabungan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Seri Dr Abdul Malik Abdullah berkata, walaupun BDR memberi penjimatan fiskal segera melalui pengurangan subsidi minyak, analisis FMBA menunjukkan penguncupan penggunaan di kawasan bandar, khususnya di Lembah Klang.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi menjana kerugian ekonomi bulanan antara RM320 juta hingga RM495 juta, iaitu lebih tinggi daripada penjimatan yang diunjurkan.
"Mengambil kira kesan pengganda ekonomi, penguncupan ekonomi sebenar boleh mencapai RM480 juta hingga RM1 bilion sebulan, sekali gus mengimbangi atau melebihi faedah fiskal yang dimaksudkan.
"Sektor stesen minyak sangat berisiko kerana struktur berasaskan isipadu dan margin rendah, digabungkan dengan kos operasi tetap yang tinggi seperti pekerja, utiliti, sewa dan pematuhan.
"Tambahan pula, dalam senario krisis yang lebih luas, sebarang gangguan bekalan minyak boleh mengakibatkan tempoh pendapatan jualan sifar, manakala kos operasi terus berjalan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Abdul Malik, di luar kerugian langsung, BDR secara besar-besaran memperkenalkan risiko tambahan antaranya kerentanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain aktiviti ekonomi tidak beralih serta-merta yang mengakibatkan vakum ekonomi jangka pendek, kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan.
"Justeru, untuk mengurangkan risiko berkenaan, rangka kerja moratorium pinjaman bersasar dicadangkan sebagai mekanisme penstabilan, bukan langkah bantuan secara meluas.
"Rangka kerja bantuan kewangan bersasar serupa dengan Skim Kemudahan Bantuan Khas (SRF) boleh dipertimbangkan untuk sektor yang menghadapi penurunan pendapatan dengan fokus kepada stesen minyak, PKS runcit dan pengendali makanan serta minuman.
"Daripada pelaksanaan BDR secara meluas, model hibrid seimbang disyorkan antaranya menghadkan BDR kepada peranan bukan kritikal yang boleh diukur produktivitinya, mengekalkan kakitangan penuh dalam perkhidmatan penting, melaksanakan model kehadiran bertahap dan memperkenalkan langkah sokongan PKS bersasar," katanya.
Tambah beliau, walaupun BDR menawarkan kelebihan fiskal yang jelas, analisis berkenaan menyerlahkan bahawa akibat ekonomi yang lebih luas, khususnya ke atas penggunaan bandar, PKS dan infrastruktur kritikal boleh melebihi faedah sekiranya tidak diurus dengan teliti.
Katanya, pendekatan dasar yang dikalibrasi dengan baik, digabungkan dengan rangka kerja moratorium bersasar adalah penting untuk memastikan Malaysia mencapai kecekapan fiskal dan ketahanan ekonomi secara serentak.
