
KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Pelaksanaan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) melibatkan penjawat awam sejak pertengahan April lalu berjaya menjimatkan peruntukan subsidi petrol kerajaan berjumlah RM7,309,084 setakat hari ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata langkah penjimatan melalui inisiatif BDR itu turut merekodkan pengurangan penggunaan bahan api sebanyak 4,046,448 liter dalam tempoh tiga bulan pelaksanaannya di seluruh negara.
Shamsul Azri berkata seramai 659,000 penjawat awam secara kumulatif telah memanfaatkan inisiatif BDR itu, yang pada asalnya diperkenal sebagai tindak balas terhadap krisis bekalan tenaga global.
Beliau berkata susulan keberkesanan inisiatif itu, kerajaan bersetuju memperkemas dasar berkenaan menerusi pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) bermula 1 Ogos ini dengan mengekalkan matlamat penjimatan subsidi dan kelestarian produktiviti.
"Menerusi HBH, formula fleksibiliti yang jelas ditetapkan iaitu penjawat awam diwajibkan bertugas di pejabat selama tiga hari dan bekerja secara hibrid dari rumah atau lokasi alternatif selama dua hari dalam seminggu," katanya.
Shamsul Azri berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Pensijilan UNGGUL Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) dan Apresiasi Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kelonggaran HBH tidak terpakai pada hari bekerja yang bersambung dengan cuti hujung minggu bagi mengelakkan penjawat awam mengambil kesempatan bercuti panjang.
"Sebagai contoh, jika penjawat awam bercuti pada Sabtu dan Ahad, mereka tidak dibenarkan memilih hari Isnin dan Jumaat sebagai hari bekerja hibrid," katanya.
Dalam perkembangan lain, Shamsul Azri yang juga Pengerusi IIM berkata 37 organisasi sektor awam merangkumi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan telah menerima Pensijilan UNGGUL SPINE setakat ini.
Beliau berkata penganugerahan itu adalah pengiktirafan terhadap komitmen tinggi organisasi berkenaan dalam memperkukuh budaya integriti, tadbir urus dan antirasuah di setiap jabatan.






