KUALA LUMPUR - Dasar Budaya dan Kesenian baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disifatkan sebagai garis panduan yang ‘amat regresif’ dan menyimpang daripada teras pendidikan institusi terbabit.
Pekeliling berkenaan, yang tular di media sosial baru-baru ini antara lain menetapkan beberapa larangan terhadap persembahan budaya di kampus.
Ia mencakupi larangan persembahan melibatkan lelaki dan wanita secara bersama, mewajibkan persembahan wanita hanya untuk tontonan tetamu wanita dan pemakaian yang patuh syariah.
Garis panduan itu juga menetapkan bahawa muzik harus “lembut dan berirama Melayu”, manakala semua persembahan perlu mematuhi ‘tahap moral yang tinggi’.
Mantan Timbalan Pengarah dan Felo Penyelidik Utama di Allianz Centre for Governance, Universiti Malaya (UM), Dr Sharifah Munirah Alatas berkata, universiti sepatutnya memberi keutamaan kepada isu kemerosotan kualiti akademik, bukannya menambah sekatan budaya yang tidak perlu.
“Daripada menumpukan pada masalah mendesak seperti kemerosotan asas dalam kualiti akademik dan graduan, kita pula disibukkan dengan perkara sebegini. Pekeliling ini wajar dibatalkan,” katanya kepada The Vibes.

Beliau turut mempersoalkan rasional pengasingan jantina dalam persembahan, sambil menyatakan bahawa pakaian sopan dan tingkah laku beradab sudah memadai.
“Jika semua mematuhi etika pemakaian dan tingkah laku, cukuplah begitu,” katanya.
Sharifah berkata, nada moral pekeliling itu sendiri bermasalah kerana kabur dan sarat dengan dwistandard.
“Terlalu banyak perbuatan tidak bermoral dilakukan oleh lelaki agama di sekolah tahfiz, terhadap kanak-kanak lelaki pula. Bukankah tenaga kita patut ditumpukan untuk menyelesaikan krisis itu?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan subjektiviti frasa “bermoral tinggi”.
“Ini istilah yang kabur. Siapa sebenarnya yang menentukan apa itu ‘moral tinggi’?” soal beliau.
Kritikan paling keras Dr Sharifah tertumpu pada Klausa (G) dalam pekeliling yang melarang ‘kumpulan budaya luar’ membuat persembahan di kampus tanpa kebenaran Naib Canselor.
Beliau memberi amaran, klausa tersebut boleh menyebabkan pengamal seni bukan Melayu akan terpinggir.
“UTM perlu jelaskan maksud ‘kumpulan budaya luar’, kerana ia boleh sahaja ditafsirkan sebagai bukan Melayu.
“Adakah UTM bermaksud menghalang persembahan budaya oleh Orang Asli, Iban, Dayak, India, Cina dan kelompok bumiputera lain daripada hadir ke kampus?” soalnya lagi.
Tegas Sharifah, sekatan sedemikian bercanggah dengan realiti masyarakat majmuk Malaysia serta semangat perlembagaan.
“Ini sangat tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan semangat kepelbagaian dan perpaduan Malaysia. Ia tidak berperlembagaan, regresif dan tidak wajar,” katanya.
Sekitar empat tahun lalu, Pengarah Artistik Sutra Dance Theatre, Datuk Ramli Ibrahim, pernah menegur pusat Islam UTM kerana dianggap ‘berfikiran sempit’ dan ‘penuh prasangka’.
Kenyataan itu dibuat selepas ceramah beliau dibatalkan atas nasihat pusat Islam universiti.
“Satu-satunya pihak yang mungkin menganggap ceramah saya ofensif hanyalah mereka yang berprasangka di pusat Islam itu,” katanya.
Beliau menegaskan, pelajar perlu didedahkan kepada budaya majmuk apabila mereka meninggalkan universiti, bukannya terkurung dalam persekitaran mono-budaya.
“Pendedahan kepada kepelbagaian budaya dunia nyata amat penting. Penolakan seperti ini jelas menunjukkan pemikiran sempit yang bercanggah dengan pandangan dunia semasa dan tidak seharusnya diberi tanggungjawab mendidik generasi muda,” katanya.
Ramli, tokoh kebudayaan negara yang tersohor di peringkat antarabangsa berkata, dialog merentas kaum dan budaya sepatutnya digalakkan oleh institusi pendidikan.
Beliau dijadualkan hadir ke sesi “Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa”, yang dianjurkan oleh pelajar UTM.
Pihak universiti ketika itu menjelaskan pembatalan dibuat untuk ‘mengelakkan daripada menyinggung mana-mana pihak’, dan pusat Islam menasihatkan demikian atas faktor ‘kesesuaian’.
Sementara itu, pengurusan UTM hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pekeliling yang tular itu, dan menegaskan komitmen untuk meraikan perpaduan serta kepelbagaian kaum, budaya, agama dan warisan di kampus.

“Dalam Dasar Budaya dan Kesenian UTM, istilah ‘budaya luar’ merujuk kepada unsur budaya yang tidak selari dengan nilai institusi dan amalan budaya masyarakat Malaysia.
“Ia tidak merujuk kepada mana-mana budaya, tradisi atau komuniti dalam negara, tetapi kepada keperluan universiti memastikan setiap aktiviti budaya dan seni berlandaskan nilai murni dan identiti tempatan,” katanya.
Tambahnya, aktiviti budaya digalakkan dengan adab, kesederhanaan dan hormat-menghormati, selaras dengan kepekaan terhadap kepelbagaian warga kampus.
UTM berkata matlamat dasar itu ialah untuk membentuk disiplin diri, memupuk kreativiti dan kepimpinan, menyuburkan kecemerlangan melalui seni dan budaya, serta mengukuhkan identiti budaya UTM sebagai institusi inklusif.
“UTM kekal komited menyediakan persekitaran harmonis dan terbuka terhadap maklum balas demi memastikan dasar kekal relevan dan menyokong aspirasi universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi global,” katanya. - Getaran, 16 November 2025
