SAYA menulis artikel ini dengan penuh prejudis terhadap dasar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhubung kenderaan elektrik (EV) di negara ini.
Apa yang saya tahu pada 1 Julai ini kerajaan lebih tertumpu kepada pembangunan pemasangan tempatan (CKD) berbanding import sepenuhnya (CBU).
Ada dua syarat yang dikenakan oleh kerajaan iaitu nilai minimum yang ditetapkan terhadap sesebuah kenderaan meliputi kos, insurans dan penghantaran (CIF) iaitu RM200,000 dan kuasa minimum motor 180kW.
Ini bermaksud banyak EV import yang sebelum ini dijual sekitar RM100,000 hingga RM200,000 mungkin tidak lagi layak diimport dalam bentuk CBU.
Sebelum ini, kerajaan memberi pengecualian terhadap duti import, duti eksais dan cukai jualan kepada EV import sepenuhnya bermula 2022 hingga 31 Disember 2025 bagi menggalakkan penggunaan EV.
Namun selepas tempoh itu tamat, EV CBU kembali dikenakan cukai biasa dan ini menyebabkan harga EV import dijangka meningkat ketara.
Sebagai contoh, EV dengan nilai CIF RM200,000 boleh mencecah harga jualan lebih RM300,000 selepas cukai dan kos lain dikenakan.
Dasar baharu ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menarik pelaburan kilang EV, memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan menjadikan Malaysia hab pembuatan EV serantau.
Kerajaan mahu pengeluar asing memasang EV di Malaysia secara CKD, bukan sekadar mengimport terus dari luar negara.
Malangnya dasar tersebut beri kesan besar kepada pengguna di negara ini dan mengakibatkan pilihan EV murah import semakin berkurangan dan harga EV CBU meningkat.
Jadi mengapa MITI mahu melaksanakan dasar yang pada pandangan dangkal dan prejudis saya ini merugikan rakyat?
Pada ketika ini kita sedang berhadapan dengan krisis tenaga yang berpunca daripada perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang menyaksikan Selat Hormuz ditutup dan bekalan minyak tidak dapat dibekalkan kepada ke seluruh dunia.
Lebih parah bukan sahaja minyak, tetapi produk petrolkimia seperti plastik, PVC, getah sintetik, baja kimia, cat, pencuci dan pelarut industri turut terkesan.
Malah ramai tidak sedar petroleum turut digunakan dalam kosmetik, ubat-ubatan tertentu, lilin, kain sintetik seperti poliester dan nilon, pembungkusan makanan, telefon pintar dan komponen elektronik.
Jadi sudah sampai masa kita cari alternatif kepada penggunaan produk berasaskan petroleum pada masa akan datang.
Atas sebab itulah kereta elektrik kini menjadi pilihan rakyat untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil.
Kerajaan sepatutnya galak lebih ramai rakyat miliki kereta demi jaga kelestarian alam, tetapi dengan syarat ia mestilah murah dan mampu milik.
Cuma ada yang bertanya langkah MITI untungkan siapa sebenarnya ? Berapa agaknya spill over kepada ekonomi negara ?
Ini kerana ada beranggapan ia sebenarnya lebih beri manfaat kepada syarikat yang terlibat dalam dalam sektor automotif. Sebaiknya utamakan rakyat dahululah.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
