Dasar rumah generasi kedua Felda dalam tempoh sebulan – PM

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 9:47 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dasar rumah generasi kedua Felda dalam tempoh sebulan – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memuktamadkan dasar berkaitan rumah generasi kedua Felda dalam tempoh sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan dasar itu akan dibuat selepas perbincangan bersama kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Saya akan buat keputusan dalam tempoh sebulan supaya ini menjadi keputusan dasar. Semua kawasan perumahan Felda diizinkan (membangunkan) rumah generasi kedua segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Perantau sempena 70 Tahun Felda di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya mempercepatkan pemasangan bekalan elektrik sebaik sahaja memperoleh kelulusan sementara daripada kerajaan negeri.

Mengulas isu bekalan air, Anwar berkata, perkara itu berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, namun Kerajaan Persekutuan bersedia membantu sekiranya terdapat kekangan.

“Kalau kerajaan negeri ada masalah kewangan, kita akan pertimbangkan untuk mencari peruntukan dan melihat di mana Kerajaan Persekutuan boleh membantu sama ada sebahagian atau sepenuhnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pengerusi Felda turut diarahkan mengemukakan laporan kemajuan setiap bulan bagi memastikan pelaksanaan tujuh inisiatif yang diumumkan sebelum ini tidak tertangguh.

“Saya tidak mahu perkara ini tertangguh. Kadang-kadang saya tidak salahkan rakyat. Kita umum, tetapi pelaksanaannya lambat terutama soal isu rumah kedua ini. Sekurang-kurangnya ada sebahagian kita selesaikan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pindaan Akta Felda, Anwar berkata, draf pindaan itu kini berada di peringkat akhir sebelum dibawa kepada Lembaga Pengarah Felda dan dikemukakan kepada Jemaah Menteri.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan pindaan akta tersebut dapat dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini. – KOSMO! ONLINE

The post Dasar rumah generasi kedua Felda dalam tempoh sebulan – PM appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved