Dasar Sukan Satu Ibadah tekankan aurat bukan diskriminasi - Exco Kedah

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 4:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dasar Sukan Satu Ibadah tekankan aurat bukan diskriminasi - Exco Kedah
Muhamad Radhi

ALOR SETAR - Dasar Sukan Satu Ibadah tidak mendiskriminasikan mana-mana pihak khususnya golongan bukan Islam sehingga menimbulkan kebimbangan sekali gus persepsi negatif terhadap pelaksanaannya.

Exco Belia dan Sukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din berkata, sebaliknya prinsip dasar berkenaan adalah jelas dan bersifat inklusif.

Menurutnya, ia merangkumi pelbagai aspek termasuk sentuhan fizikal antara jurulatih dan atlet berbeza jantina yang mana dalam syariat Islam, tidak dibenarkan.

"Secara dasarnya, Dasar Sukan Satu Ibadah tidak mendiskriminasikan mana-mana golongan sama ada bukan Islam dan sebagainya, dasar ini inklusif dan khusus untuk semua.

"Sebagai contoh, dalam soal penjagaan aurat yang menjadi salah satu item dalam dasar ini, atlet yang beragama Islam perlu mematuhi kriteria dan syarat-syarat pemakaian yang ditetapkan. Adapun bagi masyarakat bukan Islam, syarat-syarat diletakkan lebih umum," katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Beliau berkata, dalam perspektif berbeza, ia juga boleh mengelakkan gangguan seksual sebagaimana terkandung dalam Kod Sukan Selamat dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan.

"Jadi, dasar ini melihat kepada pelbagai sudut demi kebaikan sukan, para atlet dan rakyat secara umum. Ia tidak mendiskriminasi mana-mana pihak dan tanggapan negatif sebegini haruslah dielakkan," katanya

Dalam pada itu, beliau berkata, dasar tersebut ditetapkan merangkumi tiga elemen utama.

"Pertama, penggalakan iaitu suatu bentuk galakan kepada semua lapisan masyarakat untuk bersukan.

"Kedua, pengharmonian iaitu suatu bentuk pendekatan mengharmonikan hukum syarak dengan aktiviti bersukan, menangkis tanggapan atau persepsi negatif dan sempit serta mendahului penyelesaian dan pendidikan berbanding hukuman," katanya.

Menurut Muhamad Radhi, elemen ketiga, pemberdayaan iaitu suatu bentuk langkah memberdaya pencapaian prestasi atlet berprestasi tinggi sebagai antara indikator utama memperkukuh industri sukan di Kedah.

Katanya, ketiga-tiga elemen tersebut meletakkan suatu perspektif jelas bahawa dasar ini mendukung aktiviti sukan sekali dalam kalangan masyarakat awam mahupun kepada atlet berprestasi tinggi.

Beliau berkata, penggubalan dasar berkenaan kini berada di fasa akhir dengan draf awal telah dibentangkan Jawatankuasa Dasar pada 5 Mac lalu.

Katanya, ia dirangka hasil pelbagai sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk pakar agama, Jabatan Mufti Negeri Kedah, Majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Negeri serta persatuan sukan berkaitan.

Menurutnya, dasar itu mengekalkan nama Dasar Sukan Satu Ibadah kerana istilah ibadah membawa maksud lebih luas dan tidak terhad kepada amalan ritual semata-mata, sebaliknya menekankan bahawa aktiviti sukan juga sebahagian daripada ibadat serta selari dengan kehidupan bermasyarakat.