
Kota Kinabalu: Isu pendatang tanpa izin (PTI) yang membelenggu rakyat Sabah sejak beberapa dekad akan diselesaikan sepenuhnya melalui data digital bilangan sebenar mereka, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, data akan dikumpul mengenai semua pendatang asing bagi memastikan mereka mempunyai dokumen yang sah untuk tinggal dan bekerja di negeri ini.
Menurutnya, fasa seterusnya selepas selesai mengumpul data digital ialah memberi tumpuan kepada penyeragaman dokumen bagi memastikan semua orang di Sabah didokumenkan secara berkala.
“Sekiranya kita dapati warga asing terbabit adalah pendatang tanpa izin maka kita tidak teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada.
“Tindakan ini telah pun dibincangkan dengan teliti dan disokong oleh Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainuddin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan program “Kita Demi Negara” anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dataran Kompleks Sukan Likas pada Ahad.
Hajiji menegaskan, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk memperhebatkan keselamatan di negeri ini terutama Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara.
Justeru, katanya, aspek kawalan sempadan perlu diberi keutamaan memandangkan kebanyakan ancaman keselamatan di negeri Sabah datang dari luar negara.
Beliau berkata, langkah meletakkan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan strategik pedalaman Sabah adalah langkah tepat kepada kemasukan dan ancaman luar terutama apabila Indonesia berhasrat untuk memindahkan ibu negara ke Kalimantan.
Menurutnya, usaha KDN melaksanakan inisiatif itu adalah mengeluarkan dokumen imigresen dan pendaftaran di pos kawalan Imigresen dan Imigresen Pagalungan.
Projek perintis di Nabawan, ia memudahkan penduduk Pagalungan mendapatkan perkhidmatan bukan sahaja daripada Jabatan Imigresen Malaysia tetapi juga daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
“Dengan adanya inisiatif seperti ini, penduduk setempat boleh mendapatkan pas sempadan dengan mudah,” tegasnya.
Hajiji berkata, Sabah sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan garis pantai yang panjang dan lebih 40 pulau, amat terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan.
Beliau berkata, isu keselamatan berkaitan pendatang ialah seperti pencerobohan bot nelayan asing, kawalan sempadan antarabangsa dan kewarganegaraan atau orang tanpa izin.
“Saya amat berharap agar isu-isu ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin oleh Persekutuan. Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah terus terpelihara.
“Kerajaan Negeri menyokong segala usaha KDN khususnya dalam aspek keselamatan dan ketenteraman negeri Sabah.
“Ini termasuk semua penambahbaikan kepada infrastruktur, aset keselamatan dan agensi penguatkuasaan bagi memastikan tahap kebolehoperasian dan kesediaan pada tahap tertinggi,” tegasnya.
Hajiji berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak di bahu Kerajaan Persekutuan semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama padu semua pihak di peringkat persekutuan dan negeri.
Justeru beliau menyeru rakyat Sabah untuk berganding bahu dengan kerajaan dan melaporkan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya mengalu-alukan segala komitmen dan keprihatinan Hamzah serta KDN untuk menangani isu keselamatan di negeri Sabah.
“Banyak yang telah dilaksanakan di negeri ini untuk memastikan keselamatan supaya orang ramai terus kekal selamat dan aman,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

