Data Lebih 800,000 Pengundi Di MySPR Didakwa Dijual Dalam Talian

Technology
11 Nov 2022 • 5:43 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Isu kebocoran dan penjualan data peribadi rakyat Malaysia dalam talian bukanlah satu perkara baharu.

Sekurang-kurangnya setahun sekali pasti ada sahaja dakwaan yang tular di media sosial mengaitkan data peribadi rakyat Malaysia yang ditawarkan di forum pasaran pangkalan data.

Terbaharu, seorang pengguna Twitter, Faisal Rahim mendakwa terdapat pangkalan data lebih 800,000 pengguna yang dipercayai dicuri daripada sistem MySPR Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dijual secara online.

Menerusi ciapan tersebut, dia mendakwa data peribadi berkenaan yang merupakan sebahagian daripada data Electronic Know Your Customer (eKYC) sistem MySPR yang dikumpul pada 2019 terdiri dari :

  • Foto selfie
  • Nama penuh
  • Alamat e-mel
  • Nombor telefon
  • Butiran pada MyKad seperti alamat dan tarikh lahir

Bukan itu sahaja, menerusi tangkap layar yang disertakannya, pangkalan data yang menggunakan format JSON dan CSV itu juga didakwa mengandungi lebih daripada 1.603 juta imej eKYC dengan fail bersaiz 67GB.

image is not available

Semua itu ditawarkan oleh seorang penjual di laman tersebut @actifedot pada harga AS$2,000 (RM9,284) dibayar sama ada dalam mata wang kripto Bitcoin atau Monero.

Menurut laporan Lowyat, si penjual turut mendakwa bahawa pihaknya turut memiliki daftar pemilih penuh dengan butiran lebih 22 juta pemilih.

Semakan pada laman jualan mendapati penjual mula membuat tawaran tersebut pada April 2022 yang lalu.

Lebih mengejutkan ianya mula diiklankan dua minggu lebih awal dari tawaran data milik JPN yang sebelum ini menjadi perbualan hangat di media sosial.

image is not available
Foto :Lowyat

Buat anda yang tidak tahu, pendaftaran bagi sistem MySPR yang sebelum ini dilancarkan pada Julai 2019 memerlukan para pengguna untuk memuat naik salinan MyKad dan juga swafoto pengguna bersama MyKad bagi tujuan verifikasi.

Meskipun laman ini sudah kurang digunakan, para pengguna yang ingin menukar alamat mereka masih perlu log masuk ke laman ini untuk tujuan kemaskini.

image is not available

Polis teliti dakwaan

Menurut laporan Majoriti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini sedang menyemak dakwaan penjualan data tersebut.

PDRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan membuat semakan dengan jabatan berkaitan dan akan berkongsi maklumat sekiranya perincian mengenainya diperolehi.