
KUANTAN – Niat seorang bapa untuk melihat anaknya menyertai perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Pahang bertukar menjadi kenangan manis apabila dia pulang dengan sebuah kereta Perodua Bezza apabila memenangi cabutan bertuah.
Lebih mengejutkan, Mohd Hairi Shahrel, 42, dari Taman Inderapura di sini pada awalnya langsung tidak menyangka namanya akan diumumkan sebagai pemenang kerana hadir ke Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4 Kemunting di sini hanya untuk menyaksikan anaknya menyertai perarakan.
“Saya memang tidak sangka boleh menang. Saya datang dengan isteri dan dua anak untuk tengok anak sertai perarakan, tiba-tiba nama saya dipanggil sebagai pemenang kereta.
“Datang ke sini naik kereta, balik nanti ada sebuah lagi kereta baharu. Memang rezeki yang tidak disangka-sangka,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan itu hari ini. Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Mohd Hairi yang merupakan penjawat awam berkata, kereta berkenaan akan dimanfaatkan isterinya terutama untuk memudahkan urusan menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah.
Sementara itu, Nurul Atirah Zainal Abidin, 25, dari Balok, turut tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut selepas namanya diumumkan sebagai pemenang sebuah Proton Saga dalam cabutan bertuah berkenaan.
Menurutnya, kemenangan itu amat bermakna kerana dia tidak pernah memenangi sebarang cabutan bertuah sebelum ini, termasuk hadiah saguhati yang kecil. – KOSMO! ONLINE
The post Datang tengok anak berarak, balik bawa kereta baharu appeared first on Kosmo Digital.

