
PANDEMIK Covid-19 telah menyedarkan kita tentang keperluan untuk beralih kepada transformasi digital, khususnya dalam penggunaan teknologi dan pengumpulan data dalam pelbagai sektor.
Seiring dengan perubahan ini, penyimpanan data dalam pangkalan data kini menjadi keperluan asas dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan dan pendidikan.
AdvertisementMenyedari kepentingan tersebut, persatuan usahawan kecil di Sabah telah membangunkan sistem pendaftaran bersepadu berasaskan web yang dikenali sebagai Pendaftaran Penjaja dan Peniaga Kecil Sabah atau DataPPK.
Inisiatif ini dibangunkan pada 2021 oleh Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Negeri Sabah (G3PNS) diketuai oleh Naib Presidennya Achmad Noorasyrul Noortaip, 37, yang bertindak sebagai pengasas dan kapten. SESI penerangan dan pendataan kepada peniaga kecil dan penjaja di Kg Malangkap, Kota Belud.
SPONSORED CONTENT Ford aims to boost its presence in Sabah, Sarawak The improved ride quality makes the Ranger more comfortable for passengers. Read more Sejak dilancarkan pada Mac 2023, DataPPK telah mengumpul data sebanyak 14,000 penjaja dan peniaga kecil di seluruh negeri.
Menurut Achmad, idea untuk membangunkan DataPPK tercetus ketika sesi perjumpaan tertutup bersama Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Ewon Benedick, melalui G3PNS di Kuala Lumpur.
Advertisement (adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});“Perjumpaan ini berlaku di awal pelantikan beliau sebagai Menteri Kuskop. Satu soalan yang sangat memberi kesan kepada saya adalah apabila beliau bertanya berapa ramai penjaja dan peniaga kecil di bawah G3PNS.
“Ketika itu, kami hanya mampu memberikan anggaran kasar kerana data masih disimpan dalam bentuk borang fizikal.
Advertisement (adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});“Pertemuan ini memberikan gambaran jelas bahawa menteri memerlukan data yang lengkap untuk memperjuangkan dan menyelaraskan bantuan serta sokongan kepada usahawan,” katanya. ZAHARINAH (ketiga dari kiri), pengarah urusan sebuah kilang OEM di Kudat, berkata platform DataPPK sangat berguna untuk mereka yang baru menceburi bidang perniagaan.
Achmad menambah, “Selain itu, semasa pandemik Covid-19 melanda, banyak bantuan disediakan untuk peniaga. Namun, ramai penjaja dan peniaga kecil gagal mendapatkan bantuan ekoran data tidak mencukupi untuk menyokong mereka, terutamanya mereka yang tidak memiliki lesen perniagaan dan akaun semasa.”
Fungsi utama DataPPK
Menurutnya, fungsi utama DataPPK adalah sebagai penyimpanan dan analisis data yang disesuaikan dengan set data diperlukan oleh kementerian serta pihak berwajib. Sistem ini membolehkan mereka memberikan cadangan berdasarkan kajian pendataan.
“Data yang diperlukan merangkumi perincian penjaja, khususnya standard KYC (Know Your Customer) seperti nama, alamat, nombor kad pengenalan, tahap pendidikan, dan maklumat lain.
“Namun, fokus utama adalah kepada soalan-soalan berkaitan keusahawanan, seperti sama ada mereka mempunyai lesen perniagaan atau tidak, memiliki akaun semasa atau tidak, anggaran pendapatan, jenis bantuan yang pernah diterima, perlindungan sosial, dan lain-lain lagi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Achmad berkata pendataan dan keputusan statistik ini dikembangkan menjadi sebuah ekosistem yang meluas, memberikan pelbagai manfaat kepada usahawan, termasuk penggunaan Kad QR Digital.
“Bagi usahawan yang ingin menjimatkan kos cetakan kad perniagaan, mereka hanya perlu menggunakan sistem QR ini untuk memaparkan informasi perniagaan.
“Salah satu ciri penting dalam DataPPK ialah Sistem Katalog Digital, yang membolehkan usahawan menyimpan senarai produk atau perkhidmatan mereka tanpa perlu membangunkan laman sesawang. Dengan hanya satu kod QR, pelbagai fungsi boleh digunakan. ASYRAF, penjaja lekor di Pekan Nabalu, menyifatkan DataPPK memberi banyak manfaat, terutamanya dalam menghubungkan peluang perniagaan dan pembangunan keusahawanan.
“Akhir sekali, data produk mereka akan diintegrasikan ke dalam sistem eDagang DataPPK, yang kini dalam proses pembangunan dan dijangka dilancarkan tahun depan selepas kami mencapai sasaran 15,000 data,” tambahnya.
Ketika ini, ekosistem dalam DataPPK merangkumi sistem digital seperti eDompet, ‘closed loop economy’, perkhidmatan nilai tambah (VAS), sistem perakaunan, telekomunikasi, serta solusi pembayaran tanpa tunai seperti QR Soundbox dan terminal pembayaran.
Pada peringkat awal pembangunan sistem ini, Achmad, yang memiliki 15 tahun pengalaman dalam dunia perniagaan, mengakui mereka menghadapi kesukaran mendapatkan kerjasama, menyebabkan kemajuan pendataan berjalan perlahan.
“Tidak dinafikan, tidak semua pihak yakin bahawa DataPPK boleh berjaya. Kami juga berdepan cabaran dari segi dana dan sumber manusia.
“Pembangunan sistem juga memerlukan dana dan tenaga kerja yang besar untuk melaksanakan pendataan.
“Namun, kami kini bersyukur atas sokongan dan kerjasama erat pelbagai pihak, terutamanya Kuskop, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri (MIDE), Yayasan Bank Rakyat, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah, bank-bank komersial, persatuan penjaja dan syarikat swasta,” katanya.
Dilengkapi ciri-ciri keselamatan
Mengenai kebimbangan keselamatan siber, Achmad berkata DataPPK turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bagi mencegah pencerobohan data.
“Pertama, kami menggunakan SSL (Lapisan Soket Selamat), yang lebih berwibawa sebagai protokol keselamatan lapisan pertama.
“Kedua, kami menyimpan setiap data sebagai token (sebagai pengesahan) yang disulitkan (encryption) supaya tidak mudah diceroboh.
“Ketiga, pelayan (server) harus mempunyai firewall (tembok api) yang mampu menapis kemasukan pengguna.
“Keempat, untuk penggunaan kata laluan, kami mewajibkan pencampuran karakter, abjad, dan nombor.
“Dan yang terakhir, kami akan meningkatkan kesedaran pengguna supaya tidak berkongsi maklumat, terutamanya kata laluan dan ID (identiti) pengguna,” katanya.
Menurut Achmad, yang berasal dari Kg. Darau Menggatal, lebih banyak ekosistem akan diperluaskan dalam DataPPK, khususnya dalam aspek digitalisasi untuk menyokong sasaran mewujudkan Marketplace Digital (Pasar Digital) yang dinamakan eTamu, bagi penjaja dan peniaga kecil.
Tambahnya, eTamu akan memberi peluang kepada peniaga kecil memasarkan produk secara dalam talian, menghubungkan mereka dengan lebih ramai pelanggan, serta memperluaskan jangkauan pasaran.
“Ekosistem ini akan dihubungkan dengan pendigitalan transaksi perniagaan, terutamanya dalam bidang teknologi kewangan (fintech).
“Kami juga bekerjasama dengan syarikat tempatan Sabah, iaitu S4S Digital Sdn Bhd, yang memiliki kapasiti untuk menyediakan ekosistem digital yang direka khas bagi penjaja dan peniaga kecil secara menyeluruh,” katanya.
Menurut Achmad, dalam tempoh lima tahun akan datang, mereka mensasarkan pendaftaran 100,000 data penjaja dan peniaga kecil di seluruh Sabah, yang dijangka menghasilkan pelbagai transaksi aktif, khususnya jual beli, untuk menggerakkan ekonomi setempat.
Katanya lagi, pelaksanaan penuh digitalisasi dijangka mampu mengubah landskap perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di negeri ini.
“Menerusi pendataan dan analisis di platform ini, kita dapat membuat unjuran serta perancangan pembangunan keusahawanan yang lebih strategik.
“Hasil analisis data ini juga akan membantu kerajaan dan agensi berkaitan memperkenalkan program serta bantuan yang bersesuaian untuk memajukan PMKS di Sabah,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Achmad berkata versi Android aplikasi DataPPK, yang dinamakan DataPPK Biz, akan dilancarkan di Google Play pada 30 Disember ini.
“Aplikasi ini akan menghubungkan pelbagai agensi kerajaan berkaitan pembangunan keusahawanan, bantuan perniagaan dan latihan untuk usahawan mikro.
“Ia juga menyediakan platform digital bagi peniaga kecil menguruskan perniagaan dengan lebih efisien dan teratur, serta menjadi pusat sehenti untuk komuniti penjaja dan peniaga kecil mengakses sumber bantuan dan perkhidmatan kerajaan serta organisasi lain.
“Dengan pembangunan berterusan, DataPPK Biz berpotensi menjadi platform utama yang menyatukan penjaja dan peniaga kecil di seluruh Malaysia, memberi peluang kepada mereka untuk berkembang dalam persekitaran perniagaan digital yang kompetitif,” katanya.
Aplikasi itu, katanya, turut menghubungkan peniaga kecil dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang menyediakan perlindungan sosial untuk mereka yang bekerja sendiri, sekali gus memudahkan proses pendaftaran dan pembayaran perlindungan sosial.
Memberi manfaat kepada usahawan kecil
Pewujudan platform DataPPK setakat ini terbukti memberi manfaat kepada usahawan kecil di negeri ini.
Ini diakui sendiri oleh peniaga kecil, Asyraf Isqandar Dani Abdullah, 29. Beliau bahkan menggalakkan lebih ramai penjaja dan peniaga kecil untuk mendaftar.
Mengetahui tentang DataPPK melalui media sosial, katanya platform itu memberi banyak manfaat, terutamanya dalam menghubungkan peluang perniagaan dan pembangunan keusahawanan.
“Selain itu, lesen niaga dan akaun bank semasa sukar untuk dimohon oleh penjaja dan peniaga kecil. Melalui DataPPK, kami berjaya memiliki kedua-duanya, yang sangat penting untuk mengembangkan perniagaan.
“Terdapat juga manfaat lain selepas mendaftar, seperti menerima telefon percuma melalui Geran Madani Penjaja, yang memudahkan urusan perniagaan saya, terutamanya dalam merekod transaksi,” katanya.
Malah, Ashyraf, penjaja lekor di Pekan Nabalu, Ranau berkata, penggiat perusahaan mikro, kecil dan sederhana tidak perlu bimbang tentang digitalisasi.
“Sebenarnya, perlu ada kefahaman tentang digitalisasi dan keperluannya dalam perniagaan. Bagi saya, digitalisasi memudahkan urusan perniagaan, termasuk transaksi kewangan, pembayaran dan merekodkan transaksi yang penting ketika memohon bantuan.
“Usahawan PMKS tidak perlu gentar dengan perubahan kerana digitalisasi memudahkan perkembangan perniagaan jika kita tahu cara beradaptasi dengan teknologi moden,” katanya, sambil berharap DataPPK akan menambah ciri baharu seperti Pasar Digital Sabah.
Usahawan kosmetik dan makanan, Zaharinah Masair, 36, berkata platform DataPPK sangat berguna untuk mereka yang baru menceburi bidang perniagaan.
“DataPPK boleh membantu mendapatkan maklumat mengenai cara mengembangkan perniagaan dan juga membantu dalam promosi.
“Contohnya, platform ini kadang-kadang mengadakan pelbagai gerai untuk usahawan dan peniaga kecil,” katanya, yang mengetahui tentang sistem ini melalui Facebook.
Namun, beliau mengakui bahawa sistem pendaftaran web ini mungkin memberi cabaran kepada usahawan berusia 50 tahun ke atas yang kurang celik teknologi.
“Bagi generasi saya, tiada masalah untuk mendaftar secara online, tetapi bagi yang berusia 50 tahun ke atas, ada yang tidak celik IT. Saya juga nampak DataPPK mempunyai ahli peniaga berumur 50 ke atas,” katanya.
Ditanya mengenai penambahbaikan yang dicadangkan untuk DataPPK, Zaharinah berharap platform itu akan lebih seragam dari segi produk.
“Misalnya, selain produk kosmetik, saya juga menjual makanan. Jadi, mungkin mereka boleh asingkan peniaga mengikut jenis jualan,” katanya yang juga Pengarah Urusan LZ Industry Sdn Bhd, iaitu sebuah kilang Original Equipment Manufacturer (OEM), berpangkalan di Kudat, yang menghasilkan produk kosmetik.
Mengenai digitalisasi dalam industri perniagaan hari ini, Zaharinah berkata komuniti peniaga, khususnya PMKS, perlu memanfaatkan perubahan ini untuk terus maju.
“Pada era sekarang, berniaga secara digital sangat mudah. Kita boleh menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan TikTok, malah hanya beroperasi dari rumah.
“Kisah-kisah inspirasi peniaga yang berjaya menjana pendapatan berbelas ribu ringgit hanya dengan berniaga dari rumah secara digital boleh menjadi panduan untuk kita.
“Oleh itu, peniaga tidak perlu gentar kerana digitalisasi adalah satu peluang yang perlu kita manfaatkan sebaiknya, dan ia sebenarnya boleh memudahkan perniagaan kita,” katanya.





