Datasonic dijangka terus jadi pilihan utama raih kontrak berkaitan pasport berdasarkan rekod prestasi cemerlang - penganalisis ekonomi
azan
14/06/2023 - 14:46
KUALA LUMPUR 14 Jun - Datasonic Group Berhad dijangka terus menjadi pilihan utama untuk mendapatkan kontrak berkaitan pasport pada masa hadapan berdasarkan rekod pretasinya yang cemerlang.
BIMB Securities Research berkata, unjuran itu adalah berdasarkan kejayaan mereka mendapatkan lanjutan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekalkan lebih banyak cip pasport.
Katanya, kontrak baharu itu akan memastikan penghantaran pasport yang berterusan dan tidak terkesan kesan daripada permintaan kukuh kesan daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa.
"Memandangkan purata penghantaran cip pasport bulanan kepada kerajaan untuk FY23 ialah 233,000, kami percaya ia mencukupi untuk tempoh enam bulan (Jun – November), sebelum kontrak tamat pada 30 November 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu menerusi anak syarikat milik penuhnya Datasonic Technologies Sdn. Bhd. (DTSB) menerima kontrak bernilai sehingga RM37.62 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekalkan lebih banyak cip pasport.
Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) melihat prospek kumpulan itu semakin cerah selepas pembukaan semula sempadan.
Firma itu berkata, pengurusan kumpulan itu menyatakan bahawa permintaan untuk pasport adalah sangat menggalakkan.
"Kumpulan itu juga menjangkakan permintaan untuk MyKad akan meningkat semula ke tahap pra-pandemik disokong oleh prospek yang lebih baik dan pada masa sama kami meramalkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 11.8%," katanya.
Setakat pukul 2:40 petang hari ini, saham Datasonic menokok 0.5 sen atau 1.1% kepada 46.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM1.38 bilion. - DagangNews.com



