Datuk Hisham Hamdan dilantik sebagai ketua pegawai pelaburan baharu Khazanah
zulfadli
07/03/2024 - 10:23
KUALA LUMPUR 7 Mac - Khazanah Nasional Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Hisham Hamdan sebagai ketua pegawai pelaburan (CIO) baharu, berkuat kuasa pada 6 Mac 2024.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pelantikan Hisham sebagai CIO baharu membolehkan pihaknya memberikan lebih tumpuan kepada memperkukuhkan keupayaan Khazanah sebagai sebuah institusi pelaburan dan mencipta kapasiti dan keupayaan baru, terutamanya untuk mencapai matlamat penciptaan nilai dan impak.
"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Hisham atas pelantikan sebagai CIO Khazanah. Kami berharap pengalaman dan pengetahuan beliau menyumbang kepada kejayaan berterusan Khazanah dalam mencipta nilai dan memberikan pulangan kepada masyarakat Malaysia.
"Kami yakin pelantikan ini akan lebih memperkukuhkan komitmen kami kepada kecemerlangan dalam pengurusan pelaburan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, Hisham menyertai Khazanah pada April 2011 daripada Sime Darby Berhad.
Katanya, beliau pernah menyandang beberapa jawatan kanan termasuk pengarah eksekutif pasaran awam dan jawatan kanan lain di bahagian strategi dan pembangunan perniagaan, kesihatan, tenaga dan utiliti, serta turut berkhidmat di China.
"Hisham juga merupakan Pengerusi UEM Sunrise dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Khazanah Research Institute.
"Sebelum ini Datuk Hisham turut pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi UDA Holdings Berhad, Ahli Lembaga Pengarah Iskandar Investments Berhad, dan Ahli Lembaga Pengarah ValueCap," katanya.
Katanya, beliau memegang dua ijazah dalam bidang kejuruteraan kimia dan pengurusan perindustrian daripada Purdue University, Amerika Syarikat.
Beliau juga pernah mengikuti program pengurusan lanjutan di Harvard Business School, katanya. - DagangNews.com



