Datuk saudara: Umar kerap sebut mahu pindah rumah baharu

21 Feb 2024 • 4:47 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JEMPOL: Datuk saudara kepada kanak-kanak lelaki empat tahun yang maut akibat dihempap pokok di pusat rekreasi Jeram Serting Ulu di sini, tidak menyangka kata-kata cucu saudaranya mahu berpindah ke rumah baharu merupakan ‘tanda’ bahawa arwah akan pergi meninggalkan keluarga selamanya.

Amir Zulhairi Mohd Yusof, 48, berkata seluruh keluarga sangat bersedih dengan pemergian Umar Ayden Aminuddin dan menyifatkan kanak-kanak itu sebagai seorang yang periang, bijak dan sentiasa menceriakan ahli keluarga.

Beliau berkata paling terkesan ialah abang iparnya Abd Rahman Samad (gambar), 61, iaitu datuk kepada kanak-kanak tersebut yang merupakan satu-satunya cucu lelaki dalam keluarga itu.

“Semenjak dua minggu ini, Umar sering bercerita mengenai rumah baharu yang ibunya beli... ‘Tok Teh, Umar nak pindah rumah baru’, saya pun mengiyakanlah...tak sangka ini yang terjadi, seluruh keluarga sangat bersedih dengan keadaan ini.

“Abang ipar sangat menyayangi cucunya, setelah berpencen dia mahu menjaga cucunya bersama isterinya iaitu kakak saya, Fatimah, abang ipar sanggup membina sendiri kolam renang ini untuk kegunaan cucunya beriadah bersama saudara-mara lain atau rakan-rakan di kampung ini,” katanya kepada pemberita di Kampung Serting Tengah di sini hari ini.

Turut menziarahi keluarga mangsa ialah anggota polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dan Balai Polis Batu Kikir.

Amir Zulhairi yang dipanggil ‘Tok Teh’ dalam kalangan cucu saudaranya berkata Umar merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Kakaknya, Nor Adora Ayden, 9, yang turut terlibat dalam kejadian itu masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah namun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Dalam pada itu, tinjauan pemberita di lokasi kejadian mendapati Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan telah menaikkan notis memaklumkan Taman Eko Rimba berkenaan ditutup sementara sehingga diberitahu kelak.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dihempap sebatang pokok manakala seorang lagi cedera pada tragedi yang berlaku pada 1.17 tengah hari. -Bernama