Datuk Seri Vida gagal ketepikan penghakiman ingkar RM15.5 juta

LocalBusiness & Finance
6 Mar 2026 • 3:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Seri Vida

IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan syarikat Vida Beauty Sdn Bhd yang dimiliki usahawan kosmetik terkemuka, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida untuk mengetepikan penghakiman ingkar berjumlah RM15.5 juta berkaitan kemudahan pembiayaan Maybank Islamic Berhad.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Norsharidah Awang dalam alasan penghakiman bertarikh 4 Mac lalu memutuskan bahawa bantahan yang dikemukakan syarikat tersebut tidak mencukupi untuk menafikan hak statutori pihak bank bagi mendapatkan perintah jualan terhadap hartanah yang digadaikan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan bank berkenaan untuk mendapatkan perintah jualan ke atas beberapa hartanah yang dijadikan cagaran kepada kemudahan pembiayaan berkenaan.

Dalam dokumen penghakiman itu, mahkamah mendapati syarikat berkenaan gagal membuat bayaran ansuran seperti yang dipersetujui di bawah kemudahan pembiayaan Commodity Murabahah Term Financing-i bernilai RM4.886 juta.

Akibat kemungkiran tersebut, jumlah terhutang setakat 30 September 2022 meningkat kepada RM8.45 juta termasuk caj lewat bayar serta keuntungan terakru.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa notis tuntutan telah dikeluarkan pada Oktober 2022 diikuti Notis Borang 16D pada Jun 2023, namun defendan gagal mematuhi tuntutan dalam tempoh yang ditetapkan.

Selain kemudahan pembiayaan itu, satu lagi kemudahan pembiayaan lain yang dijamin melalui gadaian hartanah juga didapati gagal dilunaskan oleh defendan dengan jumlah hutang melebihi RM7 juta.

Dalam prosiding tersebut, defendan berhujah bahawa tindakan mahkamah itu tidak teratur kerana afidavit sokongan difailkan lewat lebih sebulan selepas saman pemula difailkan.

Defendan juga mempertikaikan jumlah hutang yang dituntut serta memaklumkan bahawa terdapat permohonan berasingan untuk mengetepikan penghakiman ingkar dalam tindakan sivil lain yang berkaitan.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa kelewatan memfailkan afidavit sokongan tidak secara automatik menjadikan prosiding tidak sah atau terbatal.

Mahkamah mendapati tiada bukti bahawa kelewatan tersebut menyebabkan prejudis terhadap defendan memandangkan pihak itu masih berpeluang memfailkan afidavit jawapan serta mengemukakan hujahan sepenuhnya.

"Secara keseluruhannya, mahkamah berpuas hati bahawa kemungkiran telah dibuktikan, Notis 16D telah disampaikan secara sah dan tiada sebab undang-undang yang kukuhdikemukakan oleh defendan untuk menolak permohonan plaintif.

"Segala prasyarat di bawah Seksyen 256 KTN 1965 telah dipenuhi dan hak statutori plaintif untuk memohon perintah jualan kini adalah lengkap dan boleh dikuatkuasakan sepenuhnya," katanya.

Berhubung pertikaian jumlah hutang pula, mahkamah memutuskan bahawa ia tidak membentuk “cause to the contrary” yang boleh menghalang perintah jualan kerana kemudahan pembiayaan tersebut berdasarkan struktur harga jualan yang telah dipersetujui dalam kontrak.

Mahkamah turut menegaskan bahawa kewujudan permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar dalam tindakan lain tidak menjejaskan hak pemegang gadaian untuk menguatkuasakan sekuriti ke atas hartanah berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan bank berkenaan dalam kedua-dua kes dan mengeluarkan perintah jualan terhadap hartanah yang digadaikan.

Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM5,000 bagi setiap kes kepada pihak plaintif.