Datuk Zaini Yusoff dilantik sebagai COO SP Setia baharu
zulfadli
29/05/2023 - 16:38
KUALA LUMPUR 29 Mei - SP Setia Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Zaini Yusoff sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharunya, berkuat kuasa 1 Julai 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, pelantikan tersebut adalah sebahagian daripada perancangan penggantian dalaman pihaknya.
"Kami benar-benar mempunyai pasukan kelas terbaik, dan dengan beliau memegang jawatan COO, saya yakin kami akan terus maju dan kukuh pada 2023, dengan model operasi mantap yang akan memperkasakan pasukan untuk menyampaikan perkhidmatan berkaliber dan hartanah yang tiada tandingan kepada pelanggan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaini bukanlah seorang yang asing kepada syarikat kerana beliau kini merupakan Naib Presiden Eksekutif, jawatan yang dipegangnya sejak 1 Julai 2020.
Beliau akan bertanggungjawab untuk mengukuhkan model operasi syarikat untuk menyokong pertumbuhan melalui transformasi.
Zaini mempunyai 37 tahun pengalaman menyediakan kepimpinan strategik dan operasi. Sebelum menyertai S P Setia, Zaini adalah Ketua Pegawai Operasi I & P Group Sdn Bhd.
Beliau memulakan kerjayanya di Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Sistem Kawalan Asia Impac dan Shimizu Corporation sebelum menyertai Kumpulan I & P pada 1991.
Beliau menyertai SP Setia sebagai Pengurus Besar Bahagian pada 2017 berikutan pengambilalihan Kumpulan I & P oleh S P Setia.
Beliau juga merupakan seorang jurutera awam yang memperoleh BSc (Kepujian) dalam Kejuruteraan Awam dari Memphis State University, Tennessee, Amerika Syarikat.
Zaini kini merupakan ahli exco Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan Pengerusi Redha Selangor sejak 2022 hingga 2024.
Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Pemantauan Pembangunan Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk pembinaan bangunan baharu ibu pejabat LZS.
Beliau juga merupakan ahli lembaga Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (2023/2024). - DagangNews.com



