Datum Jelatek ‘Panas” Dengan Aksi Penyanyi Lagenda Tanah Air Sempena Malam Tahun Baharu 

Music
2 Jan 2023 • 7:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hattan beraksi bersama anaknya, Adam, membawakan lagu Gadis Jolobu.

Tidak seperti sebelum pandemik COVID-19 menyerang dunia, sambutan malam tahun baharu 2023 di Lembah Klang terasa cukup sepi apabila kerajaan mengambil keputusan membatalkannya demi mengenang musibah yang melanda rakyat di negara ini. 

Kalau ada pun cuma beberapa acara hiburan bersempena sambutan tahun baharu yang diadakan di beberapa premis tertentu seperti di Bukit Bintang, Bangsar, Publika dan Sunway. 

Di Datum Jelatek pula, pihak pengurusan pusat beli-belah ini telah mengambil insiatif untuk menganjurkan Malam Artis Lagenda apabila menampilkan barisan artis senior hebat tanah air seperti Datuk Hattan, Zamani, Amir U.K’s, Fredo, Alina Hassan termasuk Faraliza. 

image is not available
Fredo menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, Kenangan Lalu dan Where Is My love.

Suasana di pusat beli-belah yangd dipenuhi hampir 1,000 pengunjung ini menjadi cukup ‘havoc’ apabila Fredo yang juga vokalis kumpulan The Flybaits muncul di pentas membawakan lagu-lagu yang penuh memori seperti Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, Kenangan Lalu dan Where Is My love. 

Fredo turut menunjukkan kehebatannya apabila membawakan bahagian ‘rapping’ lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Black Eyes Peas itu. 

image is not available
Amir U.K’s

Momentum ‘panas’ yang dicetuskan Fredo itu berterusan apabila Amir U.K’s muncul membawakan beberapa lagu hit yang diingati ramai seperti Rhythm Si Jantung Hati, Kekasih Ku Di Menara, Bila Diri Disayangi menjadi lagu tema LPKN, Pahit Akan Manis Akhirnya serta lagu yang paling diminati, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu. 

Hampir semua lagu itu turut dinyanyikan oleh pengunjung dan Amir U.K’s mengakui dia berasa seronok apabila dapat membuatkan mereka terhibur dengan nyanyiannya. 

Zamani yang mengambil-alih tempat Amir U.K’s usai persembahannya mengakui dia sudah lama tidak beraksi dalam persembahan sempena sambutan malam tahun baharu. 

image is not available
Zamani membawakan beberapa lagu termasuk Tak Mungkin Berpaling, Gerimis Mengundang dan Jika Kau Rasa Getarnya.

Dia juga menyifatkan persembahan itu sebagai istimewa kerana dapat beraksi di kampung halamannya sendiri iaitu di Keramat. 

Kemunculan Zamani mendapat sorakan padu daripada pengunjung-pengunjung yang rata-ratanya adalah penduduk tetap di kawasan itu. Zamani membawakan beberapa lagu termasuk Tak Mungkin Berpaling, Gerimis Mengundang dan Jika Kau Rasa Getarnya. 

image is not available
Peminat tidak ketinggalan merakamkan aksi penyanyi lagenda berkenaan.

Hattan yang tampil sebagai artis terakhir yang membuat persembahan pada malam itu beraksi hebat dengan gaya penghiburnya menerusi beberapa lagu, antaranya Gerhana dan Gadis Jolobu dan dia turut beraksi bersama anaknya, Adam yang membawakan bahagian ‘rapping’ lagu Gadis Jolobu. – Getaran, 2 Januari 2023