Daun ketum Malaysia tak laku apabila merosot hingga ke 200 % di negara jiran berpunca dari langkah pihak kerajaan Thailand yang membenarkan penanaman tumbuhan terbabit untuk tujuan perubatan.
Harga turun mendadak
Memetik laporan dari Harian Metro, harga daun ketum Malaysia boleh mencecah RM180 bagi satu kilogram (kg) sebelum ini namun turun mendadak sehingga hanya RM30 untuk 1 kg dan jika di Padang Besar, ia boleh mencapai RM10 sahaja.

Gambar sekadar hiasan
Ketum Malaysia tak laku mudahkan pihak polis kawal penyeludupan
Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, tindakan Kerajaan Thailand itu sebenarnya memberi kesan positif kerana dapat mengawal kegiatan penyeludupan daun ketum ke negara Gajah Putih itu.
“Namun dalam masa yang sama pula, kegiatan penyeludupan daun ketum tempatan itu kini kembali beralih kepada pasaran domestik di mana ia akan diseludup dan diedarkan ke negeri seperti Perlis, Kedah dan sebahagiannya dibawa ke bahagian selatan tanah air.
“Kita melihat tangkapan terhadap sindiket penyeludupan ketum ke negara Thailand terutamanya dari Perlis menurun lebih 50 peratus, namun kegiatan penyeludupan ini masih diteruskan menumpukan barangan lain seperti petrol dan diesel, beras, gula dan barangan bersubsidi yang lain.
“Pengurangan dari segi tangkapan penyeludupan daun ketum ini juga membolehkan kita menumpukan tugas kita kepada permasalahan jenayah lain termasuk juga jenayah rentas sempadan serta penyeludupan barangan bersubsidi lain,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di perkarangan Balai Polis Trafik Padang Besar.
Ketum Malaysia tak laku di Thailand, tapi ada permintaan di pasaran tempatan
Dalam pada itu, Muhammad Halim memaklumkan jika penjualan daun ketum mulai beralih ke pasaran tempatan, pihak polis akan melakukan tindakan berlipat kali ganda bagi membanteras kegiatan tersebut.
“Walaupun daun ketum negara ini sudah hilang nilainya untuk diseludup ke negara jiran kerana ia sudah pun dikomersialkan secara sah di Thailand, namun ia tetap mendapat permintaan dalam pasaran tempatan di negara ini.
“Oleh hal demikian, kita tetap meneruskan pembanterasan kita terhadap kegiatan penyeludupan daun ketum ini daripada terus berleluasa di negara ini,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat sewaktu menyaksikan pelupusan kes membabitkan daun dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM5.748 juta yang dirampas dalam tempoh empat tahun iaitu antara 2018 hingga tahun lalu di Padang Besar.
Sumber: Harian Metro (Aizat Sharif), Facebook Polis Daerah Padang Besar
The post Daun Ketum Malaysia Tak Laku Di Thailand, Harga Merosot Hingga 200% appeared first on Borak Daily.

