Daun pulai ditemui dalam badan Zayn Rayyan – Pegawai Penyiasat

LocalPolitics
21 Apr 2025 • 9:05 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa sehelai daun pulai telah ditemui dalam salur pernafasan (bronkus) dan perut kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, berdasarkan laporan awal bedah siasat dan analisis ahli kimia.

Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, saksi pendakwaan ke-28, memaklumkan daun itu disahkan menerusi ujian makmal dan lokasi pokok pulai juga ditemui berhampiran kawasan penemuan mayat, kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

Bedah siasat turut menunjukkan Zayn mengalami pelbagai kecederaan fizikal yang mencurigakan. Antara yang dikenal pasti termasuk telinga kiri yang terkulai, kesan toreh di lengan kanan, dan kecederaan di bahagian dubur dipercayai akibat objek tumpul.

Selain itu, terdapat lebam pada bahagian dahi, belakang badan, pipi, mata, bibir, rahang, serta kesan jerutan di leher.

Hasil siasatan forensik di rumah mangsa mendapati tindak balas positif terhadap kesan darah selepas ujian luminol dijalankan di bilik tidur dan bilik air. Calitan yang diambil dari bilik air menunjukkan DNA milik bapa mangsa, Zaim Ikhwan. Namun begitu, calitan dari dubur Zayn hanya menunjukkan DNA milik mangsa dan tiada DNA asing ditemui.

Pemeriksaan lanjut terhadap lelangit mulut Zayn mendapati terdapat lebam yang menunjukkan objek asing dimasukkan secara paksa, namun punca kematian bukan disebabkan tercekik.

Mohd Hafizee turut memaklumkan bahawa sepasang kasut hitam dengan kesan lumpur ditemui dalam bilik berhampiran dapur rumah keluarga mangsa, dan telah ditandakan serta dirakam oleh pasukan forensik.

Susulan hasil bedah siasat yang menunjukkan unsur jenayah, siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kedua-dua ibu bapa Zayn, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, ditahan pada 31 Mei 2024 dan didakwa pada 10 Jun 2024.

Mereka dituduh mengabaikan anak mereka antara 5 dan 6 Disember 2023 di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Sumber: Harian Metro