David Tan dilantik sebagai COO Niro Ceramic baharu berkuat kuasa serta-merta

Business & Finance
14 Sep 2023 • 2:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

David Tan dilantik sebagai COO Niro Ceramic baharu berkuat kuasa serta-merta

zulfadli

14/09/2023 - 14:42

KUALA LUMPUR 14 Sept - Niro Ceramic Group, peneraju terkemuka dalam industri jubin tempatan mengumumkan pelantikan David Tan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharunya berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan penting ini sejajar dengan persediaan strategik syarikat untuk penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun 2024.

Kepimpinan David akan memainkan peranan penting dalam menyokong objektif pertumbuhan Niro Ceramic dalam landskap perniagaan yang sedang berkembang.

David mempunyai rekod prestasi yang teguh menjangkau lebih dua puluh tahun pengalaman dalam inovasi kepimpinan operasi di pelbagai industri.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah memegang peranan penting dalam syarikat-syarikat terkemuka seperti Carlsberg, Ford, dan Johnson Control.

Sebelum ini, David berkhidmat sebagai COO PT Niro Ceramic Nasional Indonesia pada 2017, yang mana beliau berjaya menguruskan operasi keseluruhan termasuk bekalan, logistik, inventori dan pengeluaran.

Beliau kemudiannya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat yang sama pada Mac 2019.

Pengarah Urusan Niro Ceramic, Ian Kok berkata, pihaknya menyambut kepulangan David ke syarikat.

"Kepimpinannya terbukti dan pemahaman mendalam tentang operasi menjadikan beliau aset berharga dalam usaha kami mencapai pertumbuhan dan cita-cita bagi mengukuhkan nilai pasaran kepada pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Selain itu, David akan menyelia operasi di Malaysia dan Vietnam, merangkumi bahagian penting seperti Rantaian Bekalan, Jualan Dalam Negeri dan Jualan Teknikal serta bahagian runcit iCreative Lab.

David berkata, komitmennya terhadap inovasi, kemampanan dan kecemerlangan amat selaras dengan nilai profesional dan cita-cita beliau.

"Bersama-sama dengan pasukan yang luar biasa di Niro Ceramic, kami akan terus mengembangkan kehadiran di pasaran, menerokai peluang baharu dan menyampaikan nilai kepada pelanggan, pemegang saham dan komuniti.

"Dengan persiapan IPO kami yang dijadualkan pada 2024, saya sangat bersemangat dengan potensi yang menanti di hadapan," katanya.