DBKK Arah Tutup Taman Perdana Tanjung Aru Sabah Susulan Insiden Serangan Memerang

12 Sep 2024 • 3:06 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

DBKK Ambil Langkah Segera Susulan Insiden Memerang Serang Orang Awam

DBKK Arah Tutup Taman Perdana Tanjung Aru Sabah Susulan Insiden Serangan Memerang. Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan notis pemakluman kepada pengusaha Taman Perdana Tanjung Aru agar menutup operasi taman tersebut serta-merta berikutan insiden serangan memerang terhadap orang awam yang sedang berjoging pagi tadi. Kejadian yang berlaku sekitar awal pagi itu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan pengunjung tetap taman tersebut.

Penutupan taman ini dilakukan bagi menjamin keselamatan pengunjung serta memberi laluan kepada pihak DBKK bersama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut. Langkah segera ini juga diambil bagi memastikan tiada lagi insiden serupa yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

image is not available

Buat masa ini keseamatan harus diutamakan

Dato’ Sri Dr. Hj. Sabin bin Samitah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa DBKK memandang serius insiden tersebut dan telah bertindak pantas dengan mengarahkan penutupan Taman Perdana Tanjung Aru. “Keselamatan pengunjung adalah keutamaan kami, dan kami tidak mahu mengambil sebarang risiko. Kami akan pastikan siasatan dilakukan secara terperinci, serta langkah keselamatan tambahan akan diambil jika perlu,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan penutupan sementara ini bagi memastikan keselamatan bersama. “Kami faham bahawa taman ini adalah salah satu destinasi kegemaran untuk aktiviti riadah, namun buat masa ini, keselamatan harus diutamakan,” tambah beliau.

Siasatan awal mendapati bahawa sekumpulan memerang yang dipercayai datang dari kawasan berhampiran telah menyerang seorang pengunjung yang sedang berjoging. Mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di klinik terdekat. DBKK kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mencegah sebarang kejadian serupa di masa hadapan.