DBKK bersihkan parit di Tugu Pahlawan, gesa selenggara longkang Taman Selesa

LocalEnvironment
14 Apr 2026 • 4:39 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

DBKK bersihkan parit di Tugu Pahlawan, gesa selenggara longkang Taman Selesa

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang berusaha membersihkan parit di keliling di sekitar Tugu Pahlawan di Ujana Rimba Tropika secara menyeluruh dan berharap syarikat konsesi kerajaan turut mengambil langkah sama dalam menyelenggara longkang tepi jalan di Taman Selesa.

Tindakan ini diambil susulan maklum balas mengenai bau busuk yang datang daripada struktur berkenaan.

Seorang pengunjung taman berkata gangguan itu berpunca daripada bangkai ikan yang sudah lama terapung di dalam air parit yang keruh.

Seorang pembayar cukai di Kepayan pula mengesyaki lapisan lumpur tebal di dasar longkang di hadapan rumahnya mungkin menyebabkan masalah sama di kawasan kejiranannya.

Kedua-dua individu itu memberikan butiran berkaitan aduan mereka kepada Hotline. Maklumat ini kemudian dikemukakan kepada agensi berkenaan.

Jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata seorang kontraktor telah dilantik untuk menguruskan parit terbabit.

Menurutnya kerja-kerja itu bermula pada 7 April dengan air dipam keluar dari struktur berkenaan sebagai langkah awal.

Katanya bangkai ikan dikeluarkan sekitar waktu itu bersama lumut, tumbuhan air dan sedimen yang mencemarkan parit.

“Lapisan bahan kalis air akan disapu pada permukaan konkrit struktur ini,” katanya.

Jika tiada aral melintang, termasuk hujan yang kerap turun di ibu negeri, DBKK menjangka kerja pembersihan parit itu dapat disiapkan menjelang hujung bulan ini.

Apabila ditanya mengenai kewujudan ikan itu katanya ia bukan dilepaskan oleh pihak agensi.

“Ikan itu dilepaskan ke dalam air bersama hidupan lain seperti kura-kura oleh orang awam yang atas sebab tertentu tidak mahu lagi menjaga haiwan peliharaan mereka,” ujarnya.

Katanya DBKK akan memasang papan tanda berhampiran parit bagi menggesa orang ramai supaya tidak mengambil tindakan tidak bertanggungjawab seumpama itu.

“Papan tanda serupa juga dipasang berhampiran tasik di Taman Botani Tun Fuad Stephens di kawasan Bukit Padang,” katanya.

Dia berkata kawasan air di sekitar Tugu Pahlawan meliputi kira-kira 1,049.5 meter persegi manakala Ujana Rimba Tropika yang dibina pada 2002 meliputi kira-kira 14.5 ekar tanah.

Jurucakap itu berkata usaha mengekalkan kebersihan parit memerlukan kerja yang rumit.

“Ia boleh mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan untuk dilakukan dengan sempurna.

“Lumut mudah tumbuh kerana air di situ kaya dengan nitrogen dan fosforus. Daun kering yang gugur ke dalam parit dan mereput dalam air turut menyumbang kepada keadaan ini.

“Ditambah dengan pendedahan cahaya matahari yang tinggi, maka tidak hairanlah lumut mudah berkembang,” jelasnya.

DBKK sebelum ini mengakui menggunakan pam untuk membantu mengawal kualiti dan kebersihan air di parit terbabit namun peralatan itu rosak sejak tujuh tahun lalu.

“Pam itu mengalami kerosakan besar pada 2017.

“Kos pembaikan yang tinggi menyebabkan Jabatan Kejuruteraan belum dapat membaikinya,” kata seorang lagi jurucakap ketika itu.

Berhubung Taman Selesa jurucakap Jabatan Landskap berkata pihaknya menggesa syarikat konsesi untuk meningkatkan usaha menyahkelodak longkang tepi jalan di bahagian terjejas di Lorong Rampai.

“Penyelenggaraan longkang di hadapan rumah dalam kawasan taksiran kami berada di bawah tanggungjawab syarikat berkenaan.

“DBKK pula bertanggungjawab menjaga longkang di bahagian belakang rumah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, longkang hadapan dibersihkan mengikut jadual tetap manakala longkang belakang diselenggara setiap tiga bulan.

“Jika perlu, pekerja kami akan cuba turun lebih awal daripada jadual bagi menangani sebarang aduan berkaitan longkang belakang,” maklumnya.