
KAKITANGAN Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diminta lebih proaktif memeriksa keadaan longkang bertutup di sekitar Manggatal bagi memastikan keselamatan orang awam tidak terancam akibat jeriji atau kepingan penutup yang rosak atau hilang.
Sementara itu seorang penduduk Papar berharap Majlis Daerah turut lebih peka menyelenggara kemudahan sama di Kinarut.
Beliau membuat teguran itu selepas terjatuh ke dalam longkang di pekan berkenaan apabila palang jeriji logam yang menutup struktur itu tiba-tiba patah. Akibat kejadian tersebut kakinya cedera dan tapak tangannya mengalami luka yang teruk.
Seorang lagi penduduk Manggatal turut membangkitkan bahaya yang timbul akibat lubang pada jalan menuju ke kawasan tamu mingguan. Bahaya itu berlaku kerana penutup longkang di laluan tersebut telah jatuh ke dalam longkang.
Kedua-dua individu itu memberikan butiran kepada Hotline sebelum aduan mereka disalurkan kepada agensi berkaitan.
Menurut jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK perimeter bagi kedua-dua penutup longkang yang jatuh itu telah dibina semula awal bulan ini.
“Pemeriksaan kami mengesahkan bahawa jeriji logam dan gril gentian kaca terbuka telah dipasang semula dengan betul di lokasi terjejas di Jalan Manggatal F berhampiran kawasan tamu,” katanya.
Beliau berkata kawasan tersebut telah ditutup sementara dengan pita keselamatan pada September lalu selepas mendapati penutup longkang berkenaan longgar daripada bingkainya.
“Hasil pemeriksaan jeriji telah jatuh ke dalam longkang manakala gril gentian kaca berada dalam keadaan yang boleh runtuh pada bila-bila masa,” tambahnya.
Kakitangan yang membuat pemeriksaan percaya bahawa kenderaan berat mungkin telah melalui atau meletakkan kenderaan di atas struktur tersebut.
Mengulas tentang kelewatan dua bulan untuk menangani masalah itu beliau menjelaskan bahawa kekangan bajet menghalang kerja pembaikan segera dilakukan.
Menurutnya penyelenggaraan longkang bertutup termasuk jeriji logam dan papak konkrit dilakukan secara ad hoc.
“Kerja hanya dibuat apabila perlu. Kakitangan kami diminta membuat pemeriksaan berkala di kawasan umum sekitar pekan Manggatal bagi memastikan kemudahan saliran berada dalam keadaan baik.”Sementara itu Majlis Daerah Papar sedang menilai keadaan jeriji di antara kaki lima dan jalan utama di sebahagian kawasan Kinarut.
“Mana-mana jeriji yang rosak atau tidak terletak betul pada bingkainya akan diperbaiki,” katanya.
Jika perlu agensi itu akan membina semula bahagian kaki lima yang terjejas di Jalan Kinarut Township supaya penutup longkang tidak kembali longgar.
“Kerja pembaikan akan dilakukan apabila peruntukan mencukupi. Buat sementara waktu kami akan menutup ‘lokasi bahaya’ ini, termasuk meletakkan kepingan papan lapis di atas penutup longkang yang rosak,” ujarnya.
Berhubung kekerapan penyelenggaraan jurucakap itu berkata ia dilakukan apabila keadaan memerlukan.
“Kami banyak bergantung kepada maklum balas awam untuk menentukan bila kemudahan ini perlu diselenggara. Ia juga bergantung sama ada kerja itu kecil atau besar,’ katanya.
Kerja berskala besar tertakluk kepada kekangan kewangan dan tenaga kerja, manakala kerja kecil boleh diselesaikan dalam beberapa jam.
Walau bagaimanapun berdasarkan kejadian terbaru itu kakitangan Majlis Daerah diarahkan lebih peka terhadap kerosakan penutup longkang di Kinarut. -(SS)
