DBKK kutip RM3,420 kompaun daripada kutu sampah sejak Oktober

LocalEnvironment
10 Dec 2025 • 3:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengutip RM3,420 hasil kompaun daripada individu yang membuang sampah merata-rata sejak awal Oktober hingga akhir November menerusi pelaksanaan Ops Bersih di pusat-pusat komersial dan pekan-pekan dalam kawasan taksiran pihak berkuasa tempatan itu.

Jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) berkata sebanyak RM920 dikutip pada bulan November daripada 46 individu yang menjelaskan kompaun mereka di tempat kejadian.

“Empat lagi menjelaskan bayaran sebelum tempoh kelonggaran kompaun mereka tamat.

“Kesemua individu ini gagal melupuskan sampah secara bertanggungjawab dan membuangnya di kawasan persekitaran,” katanya.

Menurut beliau kompaun sehingga RM500 boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar Undang-Undang Kecil Anti-Sampah Sarap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu 1984 (Pindaan 2005).

Katanya individu yang berulang kali mengingkari arahan pihak berkuasa untuk tidak membuang sampah di kawasan awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 sekiranya didapati bersalah di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata sepasukan pegawai JPSP yang bertugas secara menyamar telah menjalankan 38 pemeriksaan berasingan antara 1 hingga 27 November di sekitar Pusat Bandar serta kawasan dari Inanam hingga Luyang.

Antara lokasi yang diperiksa di Kota Kinabalu termasuk deretan kedai di Bandaran Berjaya, Kampung Air, Sinsuran dan Segama, kompleks beli-belah KK Plaza serta kawasan persisiran berhampiran Jeti DBKK di Jalan Tun Fuad Stephens.

“Jumlah pesalah paling tinggi ditangkap di kawasan persisiran (62 orang) diikuti Kampung Air (5) dan Bandaran Berjaya (3),” ujarnya.

Beliau berkata pegawai JPSP turut mengesan satu tapak pembuangan sampah haram di belakang sebuah blok kedai di kawasan Kampung Air.

“Kawasan itu dipantau selama beberapa jam, namun pihak kami gagal menangkap pelaku secara ‘tangkap basah’,” jelasnya.

Bagi kawasan di luar had bandar beliau berkata pasukan pemantau turut menjalankan pemeriksaan di Damai Plaza, Damai Point, kedai-kedai Foh Sang, Sadong Jaya, Plaza Juta, Pekan Inanam, Inanam Taipan, Kingfisher Plaza, Kingfisher Riverside, Kompleks Pentadbiran Mini Putrajaya, Alam Mesra, EG Mall, Universiti Plaza dan Taman Fajar.

“Kawasan Inanam-Taipan dan EG Mall mencatat jumlah pesalah tertinggi dengan tujuh individu ditahan di setiap lokasi.

“Ini diikuti kawasan Kingfisher Plaza–Riverside dengan tiga pesalah, serta pusat komersial Damai Point–Plaza dengan empat individu dikenakan tindakanm,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM2,500 kompaun telah dikutip pada bulan Oktober dengan 125 pesalah menjelaskan bayaran serta-merta manakala seorang lagi menangguhkan bayaran.

Sebanyak 85 pemeriksaan Ops Bersih telah dijalankan antara 1 hingga 31 Oktober.

“Jumlah pembuang sampah tertinggi dalam bandar ditangkap di kawasan persisiran (27) diikuti Center Point Sabah (16) serta masing-masing lima orang di Bandaran Berjaya dan Api-Api Centre,” katanya.

Beliau menambah Kompleks Mini Putrajaya mencatat jumlah pesalah tertinggi bagi kawasan luar bandar dengan 13 individu ditahan di sekitar blok-blok bangunan di kawasan itu.

“Ini diikuti Damai Point–Plaza dengan 12 pesalah manakala EG Mall mencatat tujuh individu dikenakan tindakan,” tambahnya.