
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang memantau keadaan di sebuah kawasan perumahan di Kepayan serta satu lagi di Inanam bagi memastikan jalan-jalan di kawasan berkenaan bebas daripada anjing yang berkeliaran tanpa pengawasan.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK berkata Unit Kawalan Haiwan (ACU) akan berusaha menangkap mana-mana anjing yang didapati berkeliaran tanpa pengawasan di kawasan tersebut.
Menurutnya pemeriksaan berasingan telah dijalankan di kedua-dua kawasan kejiranan itu minggu lalu namun Unit berkenaan tidak menemui sebarang anjing di Kepayan.
“Seramai tujuh anggota ACU melakukan rondaan di Lorong Rampai, Lorong Raja Udang 2, Lorong Raja Udang 3 serta beberapa jalan perumahan berdekatan.
“Sebuah lori turut digunakan bagi membantu operasi ini,” katanya.
Bagaimanapun katanya tiga ekor anjing telah dikesan di salah satu kawasan yang diperiksa di Inanam.
“Kakitangan kami cuba menangkap anjing-anjing tersebut menggunakan jaring tiub mudah alih namun gagal apabila haiwan berkenaan melarikan diri ke kawasan semak dan rumput panjang di tanah yang belum dibangunkan di sepanjang Lorong Raja Udang 3,” katanya.
Walaupun berdepan kekangan itu beliau berkata ACU akan terus memantau kawasan perumahan berkenaan di Inanam serta kawasan di Kepayan.
Tindakan DBKK itu diambil susulan aduan daripada dua warga emas yang melahirkan kebimbangan terhadap kehadiran anjing agresif di kawasan awam sekitar Taman Selesa dan Taman Kingfisher.
Mereka mendakwa tidak berani keluar berjalan di sekitar kawasan perumahan kerana bimbang digigit atau diserang anjing. Seorang daripada mereka terlalu takut sehingga teragak-agak untuk membuang sampah ke tong di luar pagar rumahnya manakala seorang lagi tidak mahu mengulangi pengalaman lampau apabila pernah cedera ketika cuba melarikan diri daripada sekumpulan anjing.
Lebih memburukan keadaan mereka mendakwa anjing-anjing berkenaan bukan anjing liar.
Kedua-dua pembayar cukai menyalahkan pemilik haiwan peliharaan yang gagal mengawal anjing masing-masing sehingga menjadi gangguan kepada orang awam.
Maklumat berkaitan aduan itu telah disalurkan kepada DBKK untuk tindakan lanjut.
Jurucakap itu mengingatkan pembayar cukai mengenai had pemilikan dua ekor anjing bagi setiap rumah serta keperluan mendaftarkan haiwan peliharaan dengan DBKK.
“Pemilik anjing perlu memastikan haiwan peliharaan mereka diberi suntikan vaksin yang lengkap dan tidak menjadi gangguan kepada orang awam.
Mereka juga perlu memastikan anjing sentiasa berada dalam kawasan rumah dan menemani haiwan peliharaan sekiranya dilepaskan ke kawasan awam selain menggunakan tali pengikat,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pemilik anjing supaya memastikan haiwan peliharaan mereka dikurung dengan selamat sebelum keluar dari rumah bagi mengelakan anjing berkenaan berkeliaran di luar.
“Pemilik bertanggungjawab membawa pulang anjing mereka sekiranya haiwan itu terlepas.
“Mereka tidak sepatutnya meninggalkan anjing berkeliaran dan hanya mencarinya apabila pulang ke rumah,” katanya.
Sekiranya anjing terlepas melalui celah pagar atau lubang pada pagar rumah katanya pemilik bertanggungjawab menutup dan membaiki kerosakan tersebut.
Beliau menegaskan adalah tidak bertanggungjawab bagi pemilik haiwan peliharaan untuk menutup mata terhadap tingkah laku anjing mereka di kawasan awam terutama jika ia mengganggu penduduk lain.
Selain itu pemilik juga dinasihatkan mengambil tindakan segera sekiranya anjing mereka menyalak berterusan sehingga mengganggu ketenteraman jiran.
Menurutnya ACU diberi kuasa untuk menangkap mana-mana anjing yang berkeliaran tanpa pengawasan di kawasan di bawah bidang kuasanya.
“Pemilik boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 mengikut Undang-undang Kecil Pendaftaran dan Kawalan Anjing DBKK 1963 (Pindaan 2008) dan perlu menjelaskan bayaran tersebut sebelum anjing dipulangkan.
“Pesalah berulang pula berdepan tindakan mahkamah dan, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM5,000,” tegasnya.



