DBKK rangka strategi atasi banjir kilat, air bertakung di Luyang dan Tg Aru

15 Sep 2026 • 4:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

DBKK rangka strategi atasi banjir kilat, air bertakung di Luyang dan Tg Aru

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang merangka strategi bagi menangani masalah saliran di sebuah kawasan komersial di Luyang dan beberapa pangsapuri di Tanjung Aru.

Langkah itu susulan maklum balas mengenai kejadian banjir kilat di kawasan komersial berkenaan serta gangguan akibat air larian hujan yang bertakung di kawasan pangsapuri terbabit.

Seorang pemilik premis di Luyang Fasa 8 meluahkan kerugian perniagaan yang dialaminya ketika hujan lebat apabila jalan raya dan petak parkir di hadapan kedainya ditenggelami air hujan.

BANJIR kilat di bahagian Luyang Fasa 8 ini menjejaskan perniagaan di pusat komersial berkenaan.Menurutnya paras air yang meningkat menyebabkan pelanggan berpotensi takut untuk datang ke premis berkenaan.

Sementara itu seorang penduduk Tanjung Aru mengadu mengenai bau busuk yang datang dari arah air hujan yang bertakung di bahagian tepi kawasan pangsapuri berkenaan.

Beliau mengesyaki larian air itu mungkin menjadi bertakung kerana tiada longkang penghubung antara kawasan berkenaan dengan premis bersebelahan untuk menyalurkan air keluar.

Kedua-dua pengadu mengemukakan butiran berkaitan masalah yang dihadapi kepada Hotline sebelum aduan berkenaan disalurkan kepada DBKK.

Jurucakap Jabatan Trafik dan Pengangkutan (TTD) DBKK berkata pemeriksaan dijalankan di jalan bersebelahan blok kedai di Luyang Fasa 8 sejurus pihaknya dimaklumkan mengenai masalah tersebut.

Katanya tiga wakil DBKK Holdings Sdn Bhd turut mengiringi anggota jabatan berkenaan ketika pemeriksaan itu dijalankan.

Syarikat berkenaan yang merupakan cabang pelaburan dan komersial milik penuh DBKK mengendalikan kutipan caj parkir di sekitar ibu negeri termasuk di Lorong Margosa 1, lokasi premis berkenaan.

Jurucakap itu berkata pasukan gabungan TTD-DBKK Holdings mendapati terdapat pihak tidak dikenali telah menutup “weep holes” yang sepatutnya berfungsi menyalurkan air hujan dari kawasan parkir ke longkang utama berhampiran.

Menurutnya “weep holes” ialah bukaan kecil pada tembok penahan dan struktur lain yang membolehkan air dialirkan keluar.

Katanya sebanyak lima “weep holes” dibina pada pembendungan di sepanjang bahu jalan bertentangan blok kedai berkenaan.

“Kakitangan TTD cuba mengeluarkan sumbatan daripada struktur berkenaan, namun hanya berjaya membersihkan sebahagiannya.

“Sehubungan itu, kami bercadang membina semula ‘weep holes’ tersebut dan sedang mendapatkan peruntukan bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Menurutnya sekiranya “weep holes” baharu itu masih gagal mengurangkan masalah banjir di kawasan berhampiran blok kedai, TTD akan mendapatkan bantuan Jabatan Kejuruteraan (JK) DBKK.

WAKIL DBKK Holdings dan TTD memeriksa keadaan jalan serta weep holes berkenaan.“Rakan-rakan kami di Jabatan Kejuruteraan (JK) perlu merangka pelan tindakan berpotensi bagi menambah baik sistem saliran di kawasan parkir.

“Ini mungkin termasuk membina semula kecerunan jalan bagi memudahkan aliran air larian menuju ke ‘weep holes’,” ujarnya.

JEROME dari Luyang berkata air hujan bertakung di satu bahagian jalan di pusat komersial berkenaan apabila hujan lebat.

“Air boleh naik sehingga paras betis dan takungan kecil ini mengambil masa untuk surut,” katanya.

Menurutnya masalah air bertakung itu berlaku secara berselang-seli selama bertahun-tahun, sehingga menyebabkan keadaan permukaan jalan di bahagian berkenaan semakin rosak.

Jerome berkata permukaan jalan yang tidak rata turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu yang kerap berkunjung ke deretan kedai tersebut.

Sementara itu jurucakap JK DBKK berkata pemeriksaan akan dilakukan di kawasan sekitar pangsapuri di Tanjung Aru yang terletak berhampiran Jalan Sireh.

“Sekiranya dakwaan mengenai ketiadaan longkang penghubung itu benar, kami perlu menentukan mengapa kemudahan berkenaan tidak dibina ketika bangunan tersebut mula didirikan,” jelasnya.

Beliau berkata pihak pemaju atau pemilik tanah akan dimaklumkan mengenai kekurangan tersebut.

“Kami akan meminta pihak berkenaan membina sebuah longkang kecil supaya air hujan dapat disalurkan ke longkang utama yang terdekat.

“Surat berhubung perkara ini akan dihantar kepada pemaju atau pemilik tanah,” maklumnya.

Menurutnya pihak berkenaan akan diberikan tempoh yang munasabah untuk menyediakan kemudahan tersebut.

“Sekiranya arahan kami tidak dipatuhi selepas tempoh berkenaan, tindakan lanjut akan diambil.” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved